“Apa beza Ustaz dengan anjing?”

Soalan ini pernah ditanya oleh seorang kanak-kanak yang ‘nakal’ kepada seorang lelaki dewasa, hingga merah padam muka lelaki dewasa itu akibat menahan marah.

“Siapa ajar kamu bertanya soalan seperti itu?”

Kurang abad sekali anak ini.

Budak tadi pun membuka al-Quran, lalu menunjukkan kepada lelaki dewasa.

وَلَوْ شِئْنَا لَرَفَعْنَاهُ بِهَا وَلَٰكِنَّهُ أَخْلَدَ إِلَى الْأَرْضِ وَاتَّبَعَ هَوَاهُ ۚ فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ الْكَلْبِ إِنْ تَحْمِلْ عَلَيْهِ يَلْهَثْ أَوْ تَتْرُكْهُ يَلْهَثْ ۚ ذَٰلِكَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا ۚ فَاقْصُصِ الْقَصَصَ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya, maka bandingannya adalah seperti anjing. Jika engkau menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya, ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir. (Surah Al-A’raf ayat 176)

Lelaki dewasa kelihatan terganggu. “Nak baca al-Quran, tak boleh baca satu ayat sahaja. Kena baca ayat sebelum dan ayat selepasnya juga”

Lalu budak tadi menunjukkan ayat sebelumnya, surah Al-A’raf ayat 175.

وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ الَّذِي آتَيْنَاهُ آيَاتِنَا فَانْسَلَخَ مِنْهَا فَأَتْبَعَهُ الشَّيْطَانُ فَكَانَ مِنَ الْغَاوِينَ

Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad), khabar berita seorang yang kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) Kami, kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar daripada mematuhinya, lalu dia mengikuti Syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah dia orang-orang yang sesat.

Lelaki itu terkedu. Budak ini bukan calang-calang!

Menurut Abdullah Bin Mas’ud R.A, ayat daripada surah al-A’raf di atas menceritakan tentang seorang ULAMA Yahudi bernama Bal’am Bin Baura. Dia telah diberikan ilmu dan pengetahuan tentang al-kitab tetapi dia memilih untuk mengikuti hawa nafsunya, dan meninggalkan kebenaran ilmu yang Allah berikan padanya.

Para ahli tafsir berbeza pendapat tentang ‘anjing’ itu. Ada yang berpandangan Bal’am Bin Baura ini diubah fizikalnya seperti anjing, iaitu lidahnya menjadi panjang dan terjelir keluar, seperti mana pandangan Ibnu Ishak. Sebahagian ahli tafsir yang lain pula berpandangan, Bal’am Bin Baura hanya bersifat seperti seekor anjing yang sesat di dalam kegelapan.

Nauzubillah. Semoga Allah lindungi kita daripada memiliki sifat ‘ustaz-ustaz’ Yahudi tadi. Semakin alim, semakin tidak berakhlak. Semakin alim, semakin bongkak dan ghairah mengikuti perasaan.

Saya percaya, ustaz hanyalah gelaran. Sama seperti gelaran kemuliaan yang lain seperti dato’, datuk seri, atau tan sri.

Namun begitu, gelaran ustaz ini berkali-kali ganda lebih mulia di mata masyarakat, kerana mereka lebih memahami al-Quran, hadis, dan permasalahan fiqah berbanding orang awam seperti kita.

Namun begitu, perkara sebaliknya yang mereka tontonkan kepada masyarakat. Lebih-lebih lagi di ambang PRU 14 ini.

Sejak dahulu saya hairan, bagaimana seorang ustaz boleh menjerit-jerit di dalam pentas ceramah, memaki hamun musuh politik, dan mencela mereka seolah-olah mereka itu bukannya saudara kita. Jenayah ini sering berlaku di pentas ceramah ustaz-ustaz (maaf sebut) PAS. Orang-orang yang tidak sealiran dengan mereka akan dihukum. Tidak mengundi mereka juga dipukul rata kononnya tidak menyokong Islam.

Apabila satu pihak memukul, satu pihak lagi akan membalas pukulan. Serupa jugalah di kem Pakatan Harapan (PH). Mereka juga dibanjiri dengan ustaz-ustaz dan alim ulama yang menggunakan hujah agama untuk memenangkan perjuangan mereka dan menyakiti hati orang lain. Mereka menuduh lelaki-lelaki berserban hijau itu sebagai radikal, tetapi mereka juga serupa. Cuma serban mereka berwarna ‘biru yang lebih muda’.

Lihatlah contoh yang ditunjukkan oleh dua orang sahabat syurga ni, Abu Dzar al-Ghifari R.A dengan saudaranya, Bilal Bin Rabah R.A. Kisah yang indah ini boleh kita temukan di dalam naskah Sahih Muslim.

Suatu hari, para sahabat Nabi S.A.W sedang berbincang tentang strategi peperangan. Abu Dzar R.A mempunyai sebuah idea lalu dia menyuarakan buah fikirannya. Tanpa diduga, idea tadi ditolak oleh Bilal R.A. menyebabkan Abu Dzar R.A menjadi beremosi. Dia membentak,

“Beraninya kamu menyalahiku wahai anak wanita berkulit hitam. Bercerminlah engkau. Lihat siapa dirimu”

Bilal R.A tersentak. Dia menjadi sangat marah.

“Demi Allah, aku akan mengadu kepada Rasulullah terhadap apa yang kamu katakan kepadaku”.

Lalu dia pun tergesa-gesa mendapatkan Rasulullah S.A.W dan menceritakan perkara yang terjadi tadi. Rasulullah S.A.W menjadi sangat marah hingga berubah rona mukanya.

Selang beberapa ketika, datang pula Abu Dzar R.A dengan tergopoh-gapah sambil memberi salam kepada Baginda.

Para sahabat berkata, “Kami melihat Rasulullah S.A.W sangat marah hinggakan kami tidak tahu, adakah Baginda menjawab atau tidak salam Abu Dzar tadi”.

Rasulullah S.A.W bersabda, “Wahai Abu Dzar, engkau telah menghinanya dan merendahkan ibunya. Dalam dirimu masih terdapat sifat jahiliyyah”

Kalimat itu umpama paluan petir kepada Abu Dzar R.A. Lalu dia menangis teresak-esak dan menyesali perbuatannya. Dia pergi menghampiri Rasulullah sambil merayu, “Wahai Rasulullah, beristighfar dan mintakanlah ampun kepada Allah bagiku”.

Lalu dia pergi menghampiri Bilal seraya meletakkan kepalanya ke atas tanah.

“Demi Allah, wahai Bilal. Aku tidak akan mengangkat wajahku dari tanah ini melainkan engkau memijaknya dengan kakimu. Sungguhnya engkaulah orang yang mulia dan akulah yang hina”.

Dia tersedar betapa dia telah melakukan kesilapan yang sangat besar.

Bilal R.A menangis terharu melihat pemandangan itu. Luluh hatinya melihat saudara yang dia kasihi sepenuh hati, merayu meminta kemaafan begitu sekali.

Dia mendekati Abu Dzar R.A lalu mencium pipinya. Dia kemudiannya menarik Abu Dzar bangun dan saling berpelukan di dalam tangisan.

Saya berasa sangat sebak membayangkan peristiwa ini. Betapa berkesannya tarbiyyah Nabi Muhammad S.A.W hinggakan para sahabat Baginda sanggup menelan ego mereka kerana mahu memuliakan orang lain. Tidak wujud jurang antara usia, bangsa, dan warna kulit. Yang menjadi teras hanyalah taqwa.

Bagaikan langit dengan bumi jika mahu dibanding dengan ustaz-ustaz kita. Lidah mereka, Nauzubillah, cukup keji apabila menghina orang yang tidak sehaluan dengan mereka.

Sama sahaja semua. Tak kiralah bendera warna apa.

Saya percaya, menjadi orang berilmu itu seharusnya menjadikan kita semakin takut kepada Allah. Bukannya semakin berilmu, semakin berani menentang Allah.

Seperti dalam surah Fatir ayat 28.

إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاء ۗ

Sebenarnya yang takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah ulama.

Di dalam Surah Al-Kahfi, salah satu daripada empat bentuk fitnah yang Allah ceritakan adalah fitnah ilmu. Ilmu akan menjadi fitnah dan liabiliti kepada kita sekiranya kita menggunakan ilmu itu untuk membalas kejahatan dengan kejahatan.

Tidak selayaknya orang berilmu bersikap seperti orang jahil. Di saat manusia merosakkan agama, kitalah yang membaikinya, bukannya makin meniup semboyan peperangan.

Pada akhirnya, nak masuk syurga, tak perlu jadi ustaz dan tok guru dahulu.

Pernah suatu hari, Nabi S.A.W berkata kepada para sahabat Baginda, “Sebentar lagi akan datang seorang pemuda ahli syurga”.

Para sahabat teruja menunggu. Tidak lama selepas itu, masuk seorang pemuda ke dalam masjid dan lalu di hadapan mereka.

Keesokan harinya, Nabi S.A.W tetap menyatakan hal yang serupa, selama tiga hari.

Seorang sahabat bernama Abdullah Bin Amr R.A telah mengikuti pemuda itu dan meminta izinnya untuk bermalam di rumahnya selama tiga hari. Pemuda tadi mengizinkan.

Abdullah Bin Amr R.A berasa senang hati. Dia berazam mahu mengetahui apakah amalan pemuda itu sehingga beliau mendapat pengiktirafan yang sebegitu hebat daripada Nabi Muhammad S.A.W

Namun, apa yang dia harapkan tidak kesampaian. Pemuda ini tidak berjaga malam atau berqiamullail. Dia cuma berzikir apabila terjaga dan hanya bertakbir dan beribadah apabila hari sudah hampir subuh. Amalnya kelihatan biasa-biasa sahaja.

Perkara ini menyebabkan Abdullah Bin Amr R.A kehairanan. “Aku bermalam di rumahmu kerana aku mahu melihat apakah amalanmu supaya dapat aku ikuti. Terus terang, aku tidak melihat engkau melakukan amalan yang luar biasa dan berpahala besar. Lalu apakah yang engkau lakukan hinggakan Rasulullah S.A.W memuji dan mengatakan kamu sebegitu?”

Pemuda itu berkata, “Benar. Seperti yang engkau lihat, aku tidak banyak beramal…”

“Cuma, aku menjaga lisanku agar tidak menyinggung perasaan orang lain terutamanya ibubapaku, isteriku, ahli keluarga, jiran tetangga, dan sesiapa sahaja.”

“Aku juga berusaha untuk memaafkan dan tidak marah kerana Rasulullah S.A.W juga seorang yang pemaaf dan tidak marah. Aku juga berusaha untuk menjaga hubungan silaturahim dan menghubungkan hubungan yang telah putus”.

Mendengar kata-kata pemuda tadi, Abdullah Bin Amr R.A pun berkata, “Demi Allah, engkau benar-benar adalah ahli syurga. Semua amalan yang engkau sebutkan tadi sangat sukar untuk aku lakukan”.

Jika mahu dikumpulkan hadis tentang akhlak dan seruan bagi menjaga lidah, rasanya rasanya berpuluh ribu juga.

Tetapi apa guna mengetahui seribu hadis, jika tiada satu pun yang kita mahu amalkan?

Semudah mengucapkan ‘kata-kata selamat’ apabila diprovok atau semasa berkonfrontasi, tetapi itupun kita sudah tidak mampu. Lalu produk dakwah dan tarbiyyah (D&T) gred berapakah kita ini?

Para Ustaz seharusnya berada dalam liga yang tersendiri. Tidak wajar mengorbankan prinsip akhlak dan moral hanya kerana mahu mendapatkan ‘sokongan anak muda’.

Masyarakat sedang menilai.

One thought on ““Apa beza Ustaz dengan anjing?”

Add yours

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: