Apa yang anda perlu lakukan jika pesawat anda berdepan dengan masalah teknikal?

Selasa lepas, sebuah pesawat Boeing 737-700 milik Southwest Airlines dari New York ke Dallas telah mengalami masalah teknikal semasa penerbangan. Mereka berjaya melakukan pendaratan kecemasan di Philadelphia International Airport. Namun begitu, seorang penumpang dilaporkan mengalami kecederaan yang parah sebelum meninggal dunia di hospital.

Pesawat jet ini membawa seramai 143 penumpang dan 5 orang anak kapal. Kecelakaan dan kerosakan ini berpunca daripada masalah pada enjin kiri pesawat yang meletup secara tiba-tiba. Letupan itu menyebabkan besi atau logam menembusi kabin pesawat, menyebabkan tekanan udara di dalam kabin turun secara mendadak (depressurisation) dan menyebabkan topeng oksigen jatuh.

Penerbangan nombor 1380 ini sedang berada pada paras 32,000 kaki sebelum kemalangan ini berlaku. Kapten juruterbang, Tammie Jo Shults merupakan bekas juruterbang pesawat pejuang U.S Navy. Beliau mengendalikan situasi kecemasan ini dengan sangat cemerlang. Media-media Eropah terutamanya di Amerika Syarikat memuji dan memberi kredit kepada beliau kerana berjaya mengawal pesawat 1380 ini dan mendarat dengan selamat.

Punca kerosakan pada enjin itu masih lagi di dalam siasatan. Namun begitu, pihak National Transport Safety Board (NTSB) telah mengeluarkan kenyataan bahawa bilah kipas nombor 13 telah hilang atau tercabut daripada hub kipas enjin.

Pesawat Boeing 737-700 milik Southwest Airlines ini menggunakan enjin CFM 56, yang dibuat (manufactured) dengan kerjasama antara syarikat GE Aviation milik USA dan Safran, sebuah syarikat dari Perancis.

Enjin ini memiliki sebanyak 24 bilah kipas. Kipas-kipas itu berpusing lebih kurang 4,000 kali pusingan dalam masa satu minit. Jadi walaupun hanya satu bilahnya hilang, gegaran yang berlaku adalah sangat dahsyat sekali.

Saya tertarik untuk berkongsi berita ini kepada pembaca kerana kita boleh belajar beberapa perkara daripada insiden ini.

Pertama, malang tak berbau.

Kedua, peranan krew kabin semasa di dalam kecemasan.

Ketiga, mengapa anda mesti sentiasa memakai tali pinggang keselamatan walaupun lampu isyarat memakai tali pinggang keselamatan sudah dipadamkan serta posisi duduk sebenar penumpang sebelum impak.

Keempat, cara menggunakan topeng oksigen dan jaket keselamatan yang betul semasa di dalam kecemasan.

1. Pre Departure Check.

Setiap pesawat akan terlebih dahulu diperiksa oleh jurutera atau juruterbang setiap kali sebelum penerbangan. Ada satu set pemeriksaan yang perlu dilakukan, seperti pemeriksaan visual pada bahagian badan dan komponen luar pesawat. Selain itu, jurutera atau juruterbang juga akan memeriksa keadaan tayar. Jika ada kerosakan, mereka akan meminta tayar itu ditukar.

Juruterbang juga akan melalukan ‘flight control check’ semasa pesawat bergerak (taxi) menuju landasan. Di dalam kokpit pesawat, juruterbang akan melalukan beberapa rutin seperti melakukan briefing bersama pembantu juruterbang (co-pilot), memeriksa oksigen kecemasan dan fungsi topeng oksigen, memeriksa fungsi Cockpit Voice Recorder (CVR) ataupun perakam suara kokpit, memeriksa fungsi litar pemadam api pada enjin dan juga memeriksa dokumen-dokumen yang ada di dalam ‘certificate file’ dan buku log teknikal (technical log book).

Senang cerita, setiap pesawat telah diperiksa terlebih dahulu supaya ia selamat sebelum berlepas. Jika ada kerosakan pun, jurutera akan menganalisa dan memeriksa kerosakan bagi memastikan yang kerosakan itu tidak akan memberi kesan kepada keselamatan penerbangan.

2. Peranan krew kabin di dalam penerbangan.

Saya ingat lagi beberapa tahun lepas, Micheal Ang pernah menggelar pramugari sebuah syarikat penerbangan sebagai sombong dan tidak lebih daripada sekadar seorang ‘waiter on the air’.

Ramai beranggapan krew kabin ini tugasnya hanya menghidangkan makanan sahaja. Padahal tugas mereka adalah lebih besar daripada itu.

Mereka dilatih untuk mengendalikan situasi kecemasan. Mereka tahu apa yang perlu dilakukan jika berlaku kecemasan. Kerana itulah kita perlu memberikan perhatian semasa demonstarasi keselamatan dijalankan sebelum perlepasan, walaupun kita sudah menontonnya berkali-kali.

Krew kabin akan memberi arahan kepada para penumpang semasa kecemasan. Jika mereka suruh kita duduk, maka janganlah berdiri. Jika mereka suruh kita tunduk, maka janganlah pula mendongak.

3. Tali pinggang keselamatan boleh menyelamatkan nyawa.

Dalam nahas pesawat Southwest Airlines 1380 ini, besi daripada enjin telah menusuk kabin dan menyebabkan satu tingkapnya pecah. Seorang penumpang hampir-hampir ‘disedut keluar’ daripada pesawat. Mujurlah dia sempat ditarik oleh penumpang lain.

Jika dia duduk di kerusinya dengan tali pinggang keselamatan tersisip kemas, pasti dia tidak akan ditarik oleh tekanan udara dari luar.

Dalam nahas udara yang membawa pemain-pemain kelab bolesepak Brazil, Chapecoense, dua tahun lepas, 71 orang daripada 77 orang penumpangnya telah meninggal dunia.

Hampir keseluruhan pemain dan staf kelab itu maut. Salah seorang survivor bercerita, ketika kejadian tidak ramai orang yang duduk di kerusi masing-masing. Tetapi dia masih duduk di kerusinya dan mengenakan tali pinggang keselamatan. Semasa impak, dia telah bersiap sedia di dalam posisi dan katanya lagi, mungkin kerana itulah dia terselamat.

Jadi sila baca dan fahami notis keselamatan yang disediakan syarikat penerbangan . Belajar dan ikuti posisi yang betul sebelum impak.

Brace for impact!

4. Cara yang betul menggunakan jaket keselamatan.

Setiap kerusi penumpang ada jaket keselamatan disangkut dibawahnya. Jika berlaku kecemasan seperti pendaratan di atas laut, jaket keselamatan ini akan berfungsi sebagai pelampung.

Namun begitu, picu pelampung ini hanya boleh ditarik selepas pelanggaran dengan air, dan semasa kita sudah dekat atau berada di pintu keluar pesawat.

Pada tahun 1996, Ethiopian Airlines penerbangan 961 dari Addis Ababa ke Nairobi, telah dirampas (hijack) oleh 3 orang lelaki warga Ethiopia.

Mereka memukul dan mengugut juruterbang agar mengubah laluan penerbangan ke Australia tetapi kapal terbang itu tidak mempunyai minyak (bahan api) yang cukup. Pesawat Boeing 767-200 itu akhirnya menghentam laut, berdekatan Pulau Komoros.

125 orang telah meninggal dunia. Tambah menyedihkan, kebanyakan mereka bukan maut kerana impak perlanggaran, tetapi kerana lemas akibat terperangkap di dalam bangkai pesawat. Puncanya, kerana mereka telah menggembungkan pelampung hingga menyebabkan mereka tidak dapat berenang keluar ke permukaan lalu terperangkap.

Jadi ikuti pesanan krew kabin anda, “Tarik picu hanya semasa berada di pintu keluar pesawat”.

Saya cuma mampu berdoa supaya perjalanan udara kita sentiasa di dalam lindungan dan rahmat Allah Taala.

Selain itu, tepatilah jadual penerbangan kita. Ada seribu punca kelewatan penerbangan, tetapi ‘kecuaian penumpang’ bukan salah satu daripadanya.

Lainlah jika kita menyewa (lease/charter) seluruh penerbangan, atau kitalah juruterbangnya, maka ikut suka hati kitalah nak berlepas pukul berapa pun.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: