Realiti Baitul Muslim yang aneh.

Rasanya ramai yang dah tahu apa itu baitul muslim. Lagi-lagi pelajar universiti yang mengikuti usrah di kampus. Pasti ada usik-mengusik tentang baitul muslim ini. Jika bukan setiap tahun pun, pasti pernah sekali kita mengikuti forum tentang baitul muslim ini.

Tetapi sejauh mana kebenaran, keberkesanan, dan keindahan baitul muslim ini?

AMARAN: Anda bakal membaca perkongsian daripada peristiwa dan pengalaman peribadi saya. Mungkin bila tiba pada satu babak, anda akan geli dan menyampah. Tak mustahil juga, anda akan merasakan seperti semua ini adalah cerita fiksyen. Jadi suka saya mengingatkan, apa yang saya tulis ini hanyalah perkongsian pengalaman peribadi saya. Semoga apa yang saya tulis ini bermanfaat buat saya dan tidak menjadikan saya angkuh dan riak.

____________________

Setahu saya, baitul muslim ini adalah seorang calon itu saling bertukar-tukar biodata, yang disenaraikan kelebihan dan kekurangannya, harapannya, visi dan matlamat hidupnya, dan tidak lupa juga, sekeping gambar kecil, yang paling lama akan dibelek oleh calon pasangannya berbanding data peribadinya tadi.

Jodoh saya dengan usrah tidak panjang. Tidak pasti siapa yang meninggalkan atau siapa yang ditinggalkan. Tidak sempat untuk saya dihulurkan baton bagi menjadi naqib, dan tidak sempat juga saya menulis biodata buat bekalan istikharah akhwat-akhwat bertudung labuh.

Saya juga tidak sempat menanam angan-angan, kononnya mahu bermimpi bertemu akhwat bersayap perak, diturunkan Tuhan daripada syurga, buat penenang tulang rusuk kiri yang asyik bergetar.

Namun begitu, jodoh saya datang dalam skrip baitul muslim. Saya mengenali isteri saya melalui kakaknya (sekarang kakak ipar saya). Diceritanya A sampai Y, siapa adiknya. Tinggal Z sahaja, yang menjadikan isteri saya masih misteri.

Pada hemat saya, dia cocok dengan saya. Lebih manis, kerana dia pun berminat dengan saya. Saya tidak bertepuk sebelah tangan!

Selepas beberapa bulan menjadi sahabat Facebook kakaknya, barulah saya berani untuk klik pada ikon “add friend” si adik. Hati berdebar-debar menunggu ‘approval’, adakah dia accept, atau dia reject.

Selepas menjadi kawan Facebook, saya semakin ‘galak’ mengintai profail beliau. Tidak puas dengan gambar sebesar kepala mancis, saya cuba mencari gambar-gambar yang lain, tetapi seringkali bertemu hampa kerana terlalu sedikit gambarnya yang dibenarkan untuk tontonan umum.

Hati saya semakin tekad. Dialah orangnya. Dibantu pula dengan istikharah di setiap sebelum lelapan mata. Mungkin saya tidak diberi jawapan ‘Ya’ atau ‘Tidak’. Yang diberi cuma bekalan keyakinan yang semakin menebal dari hari ke hari.

Akhirnya saya tekad. Di saat orang lain menyimpan nombor telefon gadis idamannya, saya cuma ada nombor telefon ibunya. Jadi buat pertama kalinya, saya menelefon ibunya. Bertanyakan khabar berita dan memperkenalkan diri. Di hujung perbualan, saya meminta izin untuk datang bersilaturrahim.

Tak dapat petik bunganya pun tak apa, yang penting dapat kenal penjaga tamannya dulu.

Selang beberapa hari, saya mendapat jemputan,

“Pak cik, mak cik, dan ibu saya jemput awak datang ke rumah malam esok kalau awak free“.

Notis singkat diberikan. Bermacam rasa bermain, berjuta kerisaun berlegar. Sudahlah rumahnya pun saya tak pernah sampai, tuan badan pun saya tak pernah jumpa. Bahkan bayang-bayangnya pun tidak pernah.

Hati saya berdebar-debar. Separuh debaran kerana mahu berjumpa penjaga taman. Garangkah, bengiskah, saya belum tahu. Separuh lagi berdebar kerana mahu berjumpa dengan bunga yang dipilih. Benarkah segar, terang, dan cantik seperti diperkata.

Bertemankan seorang sahabat, kami menghulurkan salam silaturahim. Seperti tahu yang kami tak pernah bertemu mata, bapa saudaranya di dalam usik, memanggil menyuruhnya menuangkan air kepada tamunya.

Dalam malu-malu, dia datang bersama dulang air. Semua mata terarah kepada kami, jadi walaupun jiwa memberonta mahu mengangkat wajah, tetapi rasa malu menyebabkan mata saya cuma mampu menyapu lantai.

Kali pertama bertandang, saya cuma mampu merakam bayang-bayang orangnya sahaja. Tapi cukup untuk meminjam sedikit bahagia. Tahulah saya, orangnya tinggi, tidak gemuk, dan tidak cacat.

Ziarah kedua pula adalah beberapa bulan selepasnya. Kali ini, ibubapa dan adik beradik saya menempuhi perjalanan jauh dari kampung ke bandar. Bermalam di rumah kakak kami di Klang kerana esoknya ada agenda yang lebih besar.

Upacara merisik menjadi tanda, jari manis si dara sudah dihias dengan sebentuk belah rotan. Saya tidak turut sama, menjadikan pertemuan kami berdua masih lagi sekali. Saya cuma menonton proses itu melalui rakaman video 15 saat yang kabur, terima kasih kepada teknologi telefon pintar tahun 2010.

Tidak berapa lama kemudian, barulah saya meminta nombor telefon bimbitnya. Barulah ada alasan jika ditanya orang mengapa menyimpan nombor anak dara.

Itupun, di dalam mesej-mesej kami, yang dibincangkan hanyalah persiapan perkahwinan. Tanya satu soalan, dijawabnya satu. Kadangkala dibiarnya tidak berjawab.

Saya tak malu jika ada orang mahu membaca rekod perbualan whatsapp kami sebelum kami berkahwin. Tidak ada apa-apa yang istimewa. Membosankan, tetapi mampu membuatkan kami berdua saling tertawa selepas membacanya, 3 tahun kemudian.

Kadangkala, jiwa lelaki saya diusik. Teringin untuk menjadi lebih mesra, lebih ramah, dan lebih ‘romantik’. Dan ‘romantiklah sangat’ yang saya dapat,

“…kalau tak ada benda penting, tak perlu mesej saya. Jaga hati awak tu”.

Rasa seperti dihempap batu dari ababil.

Tapi benar, jika bukan kita yang membuka pintu zina hati, siapa lagi. Jika satu pihak mahu membukanya, pihak yang lagi satu perlu menutupnya.

Beberapa bulan kami membuat persediaan. Saya mencari dan membeli barang-barang yang saya mahu. Dia pun membeli barang yang dia mahu, lalu kami bersetuju untuk saling bertukar-tukar buah hantaran.

Saya ingat lagi, inilah kali pertama saya membeli jam tangan pada harga lebih daripada RM 200. Selama ini jam tangan saya cuma RM 20. Jam pasar malam.

Saya membeli kasut, dan beberapa benda lain. Lebih mudah menangkan citarasa sendiri dan juga saiz sendiri.

Pertemuan ketiga kami adalah bersebelahan Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. Itu pun di kawasan bazar Ramadhan. Di balik lautan manusia yang mencari juadah berbuka, kami bertukar barang hantaran. Tak sampai 5 saat. Hanya semudah ‘Touch&Go’, bahkan mungkin lebih pantas daripada itu

Pertemuan keempat, di PICC semasa dia menghadiri program agama bersama rakannya. Mulanya saya juga membeli tiket, konon mahu menjadi peserta juga, tapi akhirnya kerana beberapa kekangan yang saya tak berapa ingat, tiket itu saya berikan kepada rakannya. Kami berjumpa kerana dia mahu memberikan cincin hantaran. Sempatlah mata ini merakam pertemuan, kali ini, sepantas lorong Smart Tag.

Pertemuan terakhir sebelum nikah adalah tiga hari selepas hari raya. Saya berhajat untuk berziarah. Kebetulan, bapa saudaranya juga mahu datang berziarah, jadi kami berpapasan. Seingat saya lagi, saya ada membawa bersama buah tangan dari kampung iaitu sekotak besar buah duku. Selepas kahwin barulah dia beritahu, dia sangat gembira dengan hadiah itu. Tahulah saya, dia dan keluarga menggemar buah-buahan kampung.

Selang beberapa bulan, kami bernikah. Tetapi hanya beberapa minggu sebelum nikah, barulah saya rasa ketegasannya mulai kendur. Buat pertama kali, dia mengajak ‘berbual’,

“Emak awak ustazah kan? Dia garang tak?”

Saya ketawa sendirian membaca mesejnya. Lama, baru saya membalas.

“Garang. Habislah awak nanti!”

Padahal kami saling ‘menawan hati’ emak kami. Saya sering menelefon dan mesej ibunya, berbasa-basi, dia pun melakukan yang sama kepada ibu saya.

Bulan September, kami bernikah. Saya ingat lagi malam sebelum nikah, saya tidur awal. Tetapi dia, jam 3 pagi baru tidur. Katanya, nak tunggu inai di jari kering dahulu.

Pagi jam 9, kami sudah sedia menunggu di surau. Kami dinikahkan oleh jurunikah berwakil walikan abang sulungnya. Dia anak yatim sejak kecil. Tak sempat merakam dengan jelas kenangan bersama sosok bernama bapa.

Selesai lafaz nikah, itulah kali pertama saya dan dia berduan dan bertentangan, namun perasaan malu masih menebal hinggakan mahu mengangkat muka pun susah. Di kiri dan kanan, saudara mara dan rakan-rakan tersenyum mengusik.

Saya menyarung cincin ke jari manisnya. Jari si manis, yang kini bergelar isteri. Itulah kali pertama kulit kami bersentuhan. Hukumnya sama, membatalkan wuduk. Tetapi ganjarannya berbeza, menjadi pahala yang membahagia.

Mula dari saat itulah baru kami berkenalan dengan lebih dekat. Hati sentiasa berbunga-bunga, seakan-akan kata orang, “pergi ke tandas sekejap pun dah rindu”, itu betul dan tidak klise.

Alhamdulillah, kini keluarga kami sudah semakin besar. InsyaAllah, semakin bahagia juga.

Usia perkahwinan kami sudah menganjak ke tahun yang keempat. Masih lagi setahun jagung. Masih belum benar-benar diuji. Tetapi kami saling mengangguk setuju, yang kasih-sayang ini perlu dijaga, sedaya-upaya, selama-lamanya.

Pada pendapat saya,

Bercinta selepas nikah itu benar-benar wujud. Saya dan isteri adalah contohnya.

Saya juga percaya yang sifat dan sikap sebenar pasangan kita hanya terzahir selepas beberapa bulan atau berapa minggu usia pernikahan. Jika dahulu sebelum kahwin, orang tua-tua kata, “pijak semut pun tak mati”, kini selepas kahwin, barulah kita tahu apa lagi yang akan mati jika dipijak.

Jika ada orang bertanya kepada saya, adakah saya rasa terbeban dengan wang hantaran, maka jawab saya ialah YA. Siapa yang suka jika terpaksa mengikat perut sejak daripada gaji pertama. 9 ribu ringgit bukan amaun yang sedikit. Saya ingat lagi, saya cuma makan roti, telur, dan nasi dengan lauk-lauk yang biasa-biasa sahaja. Jika nak merasa KFC dan Subway, perlu berfikir dua tiga kali dahulu.

Tapi pada saya, ada garis halus antara beban dengan tanggungjawab. Wang hantaran adalah penting sebagai bukti komitmen kita mahu berumahtangga. Tempoh kumpul duit itu juga suatu tarbiyyah kepada bakal pengantin, supaya kita tahu apa keutamaan kita. Kita belajar untuk berjimat cermat dan kita belajar mengawal nafsu daripada melakukan perkara yang kita suka.

Lagipun akhirnya, wang hantaran itulah nanti digunakan untuk kenduri dan belanja rumahtangga kita selepas nikah nanti. Jadi pada saya, wang hantaran tidak seharusnya menjadi suatu isu yang sangat besar. Yang lebih patut diutamakan adalah kesungguhan bukannya kemampuan. Jika pihak pengantin lelaki ada usaha dan kesungguhan, mengapa tidak pihak perempuan menjadi pemudah cara, dengan meminta kadar yang sederhana sahaja.

Tahun 2014, pendapatan saya boleh dikatakan agak baik. Pendek kata, nak kumpul RM 9000 itu cuma perlukan komitmen beberapa bulan sahaja. Tetapi ibu mertua saya sangat memahami. Dia cuma meletakkan syarat yang minimum, yang saya sangat bersyukur dan berterima kasih dengannya. Walhal dia ada seribu sebab untuk meminta wang hantaran yang lebih mahal, kerana isteri saya lepasan luar negara, anak yatim, bongsu, berdikari dan lain-lain. Bahkan isteri saya baru berusia 25 tahun ketika itu.

Ternyata perkahwinan bukan sebuah pertandingan, siapa yang lebih tinggi hantaran nikahnya.

Saya juga berpandangan, bahawa couple itu bukanlah suatu yang betul. Sebaliknya, seseorang itu sangat mudah untuk terjerumus ke lembah zina, dan mustahil untuk mereka terselamat daripada zina hati.

Pasti apabila dating, akan ada bisikan di dalam hati untuk bermanja, mencium, pegang tangan dan lain-lain anggota badan. Bahkan kemungkinan besar perbualan-perbualan di atas talian internet juga acap kali kotor, hina, dan akan menjadi aib jika diketahui orang.

Seringkali perkahwinan menjadi tidak manis kerana kita terlalu gelojoh menjamah kemesraan, di luar perkahwinan. Sebab itu perkahwinan tidak membahagiakan. Isteri sering membebel, suami pula sering hilang dari rumah, seperti masih bujang.

Saya percaya resepi kekal bahagia adalah dengan mengutamakan agama di samping tidak menolak faktor kemanusiaan.

Antara benda yang wajib suami isteri buat adalah solat berjemaah, qiamullail, tilawah Quran, tadabbur, saling bertukar tazkirah, dan lain-lain.

Tapi tidak lupa juga, suami isteri perlu juga sering keluar bersama, makan bersama, melancong, saling bertukar-tukar hadiah dan kejutan, bergurau senda, serta melakukan aktiviti-aktiviti hiburan yang sederhana.

Ramai yang memandang remeh soal hiburan bersama keluarga, padahal ada sisi putihnya di dalam kaca mata agama ini. Menggembirakan isteri bererti kita sedang memberi diri kita kegembiraan.

Wallahua’lam.

Tujuan saya menulis panjang-panjang ini hanya untuk menekankan kepentingan istikharah, menjauhi couple dan dating, dan menghapuskan taboo masyarakat, bahawa nikah itu mudah, tetapi jangan bermudah-mudah.

Manusia akan bercakap seminggu dua.

Tapi kita berkahwin, selama-lamanya.

Jadi jangan korbankan suatu yang benar hanya kerana ia tidak ‘istimewa’.

Ibubapa, jadilah manusia yang memudahkan dan membahagiakan!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: