Solat | Bagaimana menukar malas menjadi mudah?

Secara teknikal, solat itu mudah. Hanya beberapa gerakan badan yang ringkas dan juga bacaan yang pendek. Setiap sesi solat hanya mengambil masa 2 hingga 5 minit sahaja. Solat tidak penat seperti memanjat bukit, dan tidak lama seperti menunggu giliran berjumpa doktor di Klinik Kesihatan.

Namun begitu, peratusan orang yang meninggalkan solat masih lagi tinggi. Dalam kalangan yang bersolat itu sendiri pun masih ramai yang lebih menyukai solat bersendirian berbanding secara berjemaah.

Kita bukan kanak-kanak yang perlu digula-gulakan dengan perbezaan “RM 1 dengan RM 27”. Kita faham keperluan dan juga kehendak kita. Jika kita mahukan pahala 27 kali ganda berserta jaminan serta ganjaran-ganjaran yang lain, maka kita akan memilih solat berjemaah.

Tidak elok jika kita memandang rendah dan serong kepada orang yang membuat pilihan yang tidak sama seperti kita. Sebaliknya kita perlu bersyukur kerana Allah S.W.T bantu kita hingga kita dapat melakukan solat dengan cara yang paling terbaik.

Namun begitu, disebalik aspek teknikal solat, ada juga aspek kemanusian ataupun human factor (faktor kemanusiaan).

Human factor juga disebut sebagai ergonomics, iaitu suatu kajian tentang hubung kait di antara manusia secara fizikal dan psikologi, dengan persekitaran, sistem, dan teknologi.

Dalam membicarakan tentang solat dan orang yang tidak bersolat, kita seharunya memandang kepada aspek kemanusiaan dan bukan lagi aspek teknikalnya.

Jika ditanya kepada kawan kita, kenapa dia tidak bersolat, maka jawapan yang lebih jujur adalah ‘malas’, ‘nanti dulu’, dan ‘tak mengapa’. Jawapan yang berbeza-beza tetapi maksudnya satu, iaitu ‘tidak merasakan solat itu penting’.

Oksigen itu penting kepada kita. Tanpa oksigen, kita akan mati”.

Apabila seorang guru Sains mengajarkan tentang oksigen, adakah dia berharap anak muridnya akan percaya?

Sudah tentu. Kerana data berkenaan ‘oksigen’ dan ‘kehidupan’ adalah data yang sahih, tepat, terkini, dan juga tidak mampu dipertikai.

Namun begitu, jika seorang guru mengajar, “Solat itu penting, tanpa solat, manusia akan hancur”, adakah hipotesis itu tepat, terkini, dan tidak boleh dipertikai?

Manusia hancur kerana sejuta sebab. Meninggalkan solat, cuma salah satunya.

Seseorang juga boleh mempertikai, “Kenapa aku yang tidak solat ni, lebih baik daripada dia?”

Solat itu iman, sama seperti hukum oksigen. Manusia menghirup udara (oksigen) kerana dia ‘beriman’ dengan fungsi oksigen.

Tetapi manusia meninggalkan solat, kerana ‘iman’ tentang solat belum menjamah hati. Mungkin pada akalnya sudah, tetapi akal cuma kognitif. Kita tahu hukum solat itu wajib, sebagaimana kita tahu hukum matematik, 1+1 jawapannya 2.

Iman itu boleh meresap melalui jalan yang berbagai-bagai. Ada daripada jalan ilmu, iaitu kajian dan pembacaan, ada daripada jalan dakwah, seperti ajakan kawan-kawan, ada daripada jalan paksaan seperti perintah daripada ibubapa atau badan autoriti, dan ada juga daripada jalan kebetulan, sebagaimana Allah secara langsung menumbuhkannya ke dalam hati, tanpa kita memintanya.

Kebanyakan orang meninggalkan solat kerana terbiasa meninggalkannya, sepertimana orang yang menjaga solat, pun kerana dia biasa bersolat.

Ini disebut sebagai rutin. Suatu set kebiasaan yang akan dilakukan tanpa perlu arahan yang komplikated. Rutin ini pula dibentuk oleh banyak faktor, seperti pengetahuan dan persekitaran.

Jika didikan awal yang diterima oleh seorang kanak-kanak itu, didikan yang menitik beratkan solat, maka dia akan membesar menjadi orang yang mengambil berat tentang solat.

Jadi secara tidak langsung, ibubapa ada peranannya dalam ‘betul dan salah’ anak-anak mereka. Sekalipun anak mereka sudah dewasa, bekerjaya dan berjaya,

‘…kerana dahulu anda mengajarnya apa?’

Hati manusia tidak boleh disentuh hanya dengan memberitahunya apa yang baik dan apa yang buruk. Di zaman Nabi Muhammad S.A.W dahulu pun, ada juga orang yang tidak beriman, orang yang tersilap melakukan dosa dan maksiat, bahkan yang paling malang, ada juga orang munafik yang berpura-pura beriman.

Orang munafik itu membaca al-quran juga, tetapi untuk dijadikan bahan ketawa. Mereka dengar pesanan, nasihat, dan wasiat nabi, tapi hati mereka meragui dan mempersenda.

Orang yang meninggalkan solat pula bagaimana?

Mereka bukan munafik. Mereka cuma BELUM merasakan solat itu sebagai oksigen.

Mereka tahu solat itu wajib dan meninggalkannya berdosa besar tetapi mereka tidak mampu menggerakkan tubuh badan bagi menuju solat. Terasa lemah sendi tubuh dan berat jiwanya.

Apakah pesanan saya kepada orang yang malas ini?

Familiar dengan perkataan Mujahidin? Perkataan arab itu seringkali hinggap di telinga kita saat kita membicarakan soal peperangan.

Malas, ragu-ragu, dan suka bertangguh juga adalah sebuah ‘peperangan dalaman’. Semua itu adalah musuh yang perlu kita gempur.

Paksa diri bersolat. Cabar diri, dan beri ganjaran kepada diri sendiri jika kita berjaya melakukan solat.

Saya sangat berharap Allah mudahkan kita untuk bersolat. Biar kita rasa kelazatan solat, seperti lazatnya air tangan ibu. Biar juga kita merasa pentingnya solat, seperti kita rasa pentingnya Allah S.W.T di dalam kehidupan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: