Arab Saudi | Negara wahabi yang disekularkan

Arab saudi adalah sebuah negara yang istimewa. Di sana letaknya dua tempat yang paling mulia di dunia, iaitu Kaabah dan juga makam Saidina Muhammad S.A.W. Namun begitu, Arab Saudi juga merupakan pusat bagi fahaman Wahabi, hinggakan ramai dalam kalangan ibubapa di Nusantara ini ragu-ragu untuk mengizinkan anak-anak mereka mengikuti kuliah di universiti-universiti di sana. Bimbang bila mereka pulang ke sini nanti, mereka akan ‘dituduh sesat’ oleh darah daging mereka sendiri.

Tetapi itu semua hanya sangka buruk dan persepsi kita sahaja. Mana ada anak yang sanggup mengkafirkan ibubapanya. Paling kuat pun, dia hanya akan bacakan hadis, “Setiap perkara bid’ah adalah sesat dan setiap yang sesat akan ke neraka”.

Kawan saya ada menyebut, jika betul nak jadi Wahabi, tiru bulat-bulat model wahabism Arab Saudi. Imam Masjidil Haram, Imam Sudais semasa berkunjung ke Indonesia, dia membaca ‘bismillah’ secara kuat semasa mengimamkan penduduk Indonesia. Dia pandai. Masuk negara orang, ikutlah mazhab penduduk negara itu. Jika ada amalan yang tidak tepat dengan sunnah pun, tegurlah sebagai seorang saudara, bukannya sebagai musuh.

Imam Taqiuddin al-Subki pernah ditanya tentang perbuatan takfiri (mengkafirkan orang).

“Mengkafirkan seseorang adalah suatu perkara yang sangat berat dan rumit, kerana kita akan menghilangkan banyak hak kepada orang yang dituduh itu. Lebih baik tersilap kerana membiarkan 1000 orang tidak dikafirkan, berbanding satu kesilapan mengkafirkan seorang yang tidak”

Saya berharap sangat agar kita boleh setuju untuk tidak bersetuju (agree to disagree), meraikan perbezaan, menjaga lidah daripada melemparkan label-label yang jahat dan mengkafirkan orang, dan seumpamanya. Berakhlaklah dengan akhlak seorang muslim, bukan seorang barbarian.

Ramai pengamal media antarabangsa menggelarkan Arab Saudi sebagai negara yang ‘ultra-konsevatif’ kerana polisi-polisi negara itu yang terlalu ‘mengokong’ penduduknya, terutamanya wanita. Bahkan pejuang hak-hak wanita menyelar kerajaan Arab Saudi sebagai negara yang paling teruk di dalam kesamarataan gender.

Antara bantahan yang paling hebat diperjuangkan adalah bantahan atas larangan memandu bagi wanita.

Namun begitu, pada bulan September 2017 yang lepas, pemerintah Arab Saudi, Raja Salman telah mengeluarkan kenyataan bahawa kaum wanita di Arab Saudi akan dibenarkan memandu dan mendapatkan lesen memandu mereka. Undang-undang baharu ini akan mula dikuatkuasa pada 24 Jun 2018.

Jika dilihat pada kantung sejarah, Arab Saudi pada hari ini sudah tidak sama dengan 10 tahun lepas. Jika dahulu, Arab Saudi adalah serupa dengan ‘musuh’ mereka, Iran pasca revolusi Iran 1979, tetapi kini sekatan-sekatan keatas kebebasan kaum wanita mulai kendur secara berperingkat.

Pada tahun 2011, Raja Abdullah telah mula memberi kerusi untuk wanita di dalam pentadbiran kerajaan (majlis syura). Beliau juga menggubal undang-undang dengan memberikan hak kepada kaum wanita untuk mengundi. Selain itu, wanita juga dibenarkan mengambil bahagian di dalam sukan, bahkan bertanding di dalam sukan olimpik, dengan Dalma Rushdi Malhas menjadi atlet wanita pertama mewakili Arab Saudi di dalam acara equestrian.

Pada tahun 2015, golongan wanita mula diberi kepercayaan untuk memimpin local counsil dan sejak daripada itu jugalah, bilangan wanita yang diterima masuk ke dalam universiti mula meningkat dan mengatasi bilangan lelaki. Pada bulan September tahun yang sama juga, wanita mula dibenarkan untuk memasuki stadium yang bercampur antara lelaki dan wanita, bagi menyambut Hari Kebangsaan mereka. Sebelum ini, kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan percampuran antara lelaki dan wanita dalam urusan-urusan di hospital, bank, dan kolej perubatan sahaja. Kaum wanita juga sudah diberikan ruang untuk berada dalam institusi kehakiman, yang selama ini dimonopoli oleh lelaki sahaja.

Tahun ini sahaja, banyak kejutan yang dibuat oleh kerajaan Arab Saudi. Pembaharuan yang dibuat oleh Putera Muhammed dan Raja Salman mendapat respond yang bercampur baur daripada pelbagai pihak. Ramai yang gembira dan menyokong, tetapi ramai juga yang memandang ini sebagai sebuah pencabulan kepada hukum syariah yang menjadi teras perlembagaan di negara pengeluar minyak itu.

Hujung tahun lepas, mereka berjaya mengadakan konsert wanita (all-female) pertama di Arab Saudi, yang bertempat di King Fahd Cultural Centre, di tengah-tengah bandar Riyadh dengan penyanyi popular Lubnan, Hiba Tawaji menyanyi di atas pentas dengan wanita-wanita Arab Saudi menari dan menyanyi bersamanya, seakan-akan bersorak merayakan kemenangan moral mereka. Ada dalam kalangan mereka menanggalkan abaya mereka dan menari, tanpa dihukum oleh kerajaan.

Pada bulan Januari 2018, kaum wanita di sana dibenarkan untuk menonton dan bersorak di stadium bagi mengikuti perlawanan bola sepak. Hampir 300 orang wanita membanjiri King Abdullah Stadium (KSA) bagi menonton perlawanan di antara Al-Ahli melawan Al-Batin. (Al-Ahli menang 5-0).

Dan beberapa minggu lepas, tular di Facebook, Kementerian Sukan Arab Saudi menganjurkan pertandingan bermain kad baloot. Yang paling mencuit hati saya adalah, seorang ulama wahabi yang juga bekas imam Masjidil Haram, Adil al-Kalbani juga mengambil bahagian dalam acara itu.

Saya tak pasti Arab Saudi semakin regresif atau progresif. Terlalu awal bagi kita untuk menilai revolusi budaya yang dimulakan oleh Putera Muhammed ini.

Yang pasti, putera raja yang berusia 29 tahun ini secara terbuka menghulurkan salam persaudaraan kepada zionis-Israel, dengan menzahirkan ‘simpati’ kepada bangsa Yahudi atas ‘kehilangan kampung halaman’ mereka.

Saya menduga, kemelut di Palestin, tanah kiblat pertama umat Islam, tidak akan berubah menjadi lebih baik dalam masa terdekat ini.

Dengan membuka jendela sekularism, Arab Saudi sudah semakin jelas tidak berminat mahu menjadi penyelamat dan wira bagi permasalahan umat Islam. Mereka lebih berminat dengan agenda monarki keluarga Saud.

Berkata sahabat saya,

“Orang Arab pergi umrah sebulan sekali, pergi haji setahun sekali, tapi apa yang mereka dapat dengan umrah dan haji mereka selain semakin cinta kepada harta, minyak, kuasa, dan monarki?”

Saya tidak membenarkan, tidak juga menyanggah.

Masih berfikir, antara menangguk dan menggeleng.

One thought on “Arab Saudi | Negara wahabi yang disekularkan

Add yours

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: