Teguran suci dan murni kepada semua pramugari

Sudah terlalu lama saya berfikir, patut atau tidak saya menulis topik ini kerana ini adalah isu yang sensitif dan melibatkan banyak jiwa. Sudah beberapa kali juga saya menulis, tapi kemudian memadamnya. Saya bimbang jika niat saya disalah ertikan hingga ada jiwa yang terluka.

Sejujurnya saya bukanlah lelaki yang terbaik. Bukan juga suami dan anak yang sempurna. Tetapi saya rasa bertanggungjawab untuk memberikan teguran supaya kita sama-sama mendapat mafaat.

Saya percaya, there always a right time for everything. Tragedi MH370 yang menjadi selimut duka kita, sudah lebih 4 tahun berlaku. Sepanjang tempoh itu, pelbagai usaha telah dilakukan untuk merungkai misteri kehilangan pesawat Boeing 777 milik Malaysia Airlines itu. Selepas 4 tahun juga, kini barulah saya rasa sesuai untuk saya luahkan apa yang terbuku dalam hati kecil ini.

Percayalah. Saya bukan mahu membuat penilaian apatah lagi menjatuhkan hukuman. Saya sendiri tidak tahu adakah apabila saya mati nanti, saya akan ke syurga atau neraka. Saya juga tidaklah lebih mulia daripada sesiapa pun.

Demi Allah, saya berasa sangat kasihan dengan saudari kita yang bekerja sebagai pramugara dan pramugari kerana ramai dalam kalangan antara mereka yang terpaksa melakukan banyak perkara yang diri mereka sendiri tidak rela.

Ada adik kita, isteri kita, dan saudari kita yang dipaksa menanggalkan hijab mereka. Padahal di luar alam pekerjaan, mereka sangat menjaga aurat mereka daripada dijamah oleh mata lelaki lain.

Ada yang dipaksa memakai pakaian seragam yang ketat-ketat, menampakkan lurah buah dada, bentuk pinggul, pangkal peha, dan anggota badan lain yang tidak sewajarnya dipandang oleh lelaki lain selain daripada suaminya.

Saya tahu, mereka pun tidak rela. Jika diberikan pilihan, sudah tentu mereka tidak sanggup memakai kebaya yang terdedah, atau skirt yang singkat begitu.

Tetapi hukum tetap hukum. Saya tidak tahu ia berdosa atau tidak kerana soal dosa-pahala, itu hak mutlak Allah Taala. Namun begitu, teks-teks yang tulen daripada al-Quran dan hadis Nabi, ada membincangkan tentangnya.

Saya juga bimbang sekiranya suami-suami mereka juga turut dikira bersalah. Saya tidak akan menggelar sesiapapun sebagai dayus. Kerana gelaran dayus adalah suatu tamparan maha dahsyat kepada para suami.

Demi Allah, tak dapat saya bayangkan jika seseorang menuduh saya sebagai suami yang dayus. Sudah pasti saya akan marah, kecewa, dan sedih. Tak mustahil saya akan bertumbuk hingga sanggup berparang sekalipun, jika tuduhan itu dilontarkan dengan sewenang-wenangnya.

Namun begitu, tugas seorang suami bukan terhad hanya kepada makan, pakai, dan tempat tinggal isteri dan anak-anaknya sahaja. Suami perlu menjadi pelindung kepada maruah isterinya. Kecantikan isterinya tidak patut dijadikan tontonan percuma. Apa yang perlu ditutup, tidak patut dibuka untuk tantapan. Apa yang patut dirahsiakan, tidak patut dikongsi bersama orang lain.

Saya juga risau jika isteri dan saudari kita ini dipaksa berurusan dengan arak. Minuman jenama apa sekalipun, jika dalam kategori arak dan memabukkan, adalah garis merah bagi kita.

Sekalipun kita tidak meneguknya walau satu titik. Tetapi kita tetap akan dikira bersubahat jika kita menghidangkan, menuang, menjual, dan mempromosikan arak walaupun kepada penumpang yang non-muslim. Kita bimbang, di sanalah letaknya kemurkaan dan kemarahan Allah.

Menjadi kru penerbangan, bermakna roh kita sudah dibawa terbang 30,000 kaki di atas awan. Hanya seutas benang yang halus sahaja yang menjadi pengikat antara kita dengan dunia. Jika berlaku sebarang musibah dan kecelakaan di sepanjang perjalanan, maka terputuslah benang yang mengikat kita, dan terpisahlah kita daripada alam dunia.

Sebagai muslim, kita yakin dengan kehidupan selepas mati. Di tempat mana pun kita mati, timbulkah atau tenggelamkah mayat kita, dibaham harimau atau dimakan ikan, dikuburkan atau tidak dikuburkan, kita semua tetap akan disoal oleh malaikat munkar dan nakir.

Soalan yang ditanya kepada saya, adalah soalan serupa yang akan ditanya juga kepada kita semua. Yang menjawabnya nanti bukan bibir dan mulut kita yang indah ini, tetapi amalan kita sepanjang kita hidup dahulu.

Sudah tentu jika diberikan pilihan, kita mahu amalan terakhir kita nanti adalah amalan yang baik-baik. Kita tidak mahu mati dengan pakaian yang mencolok mata. Kita tidak mahu mati dengan tangan kita dikotori najis arak. Kita tak mahu mati dalam keadaan suami kita tidak redha, atau ibubapa kita sedang sedih dan marah dengan keputusan kita.

Walau bagaimanapun, saya faham dengan tuntutan keduniaan kita. Dunia ini perlukan perhatian dan diurus oleh kita dengan sebaik-baiknya. Segala perkara atas dunia ini perlukan wang. Tanpa sumber kewangan yang kukuh, kita akan berdepan dengan pelbagai masalah.

Namun begitu kita juga perlu berfikir dan menilai baik-buruk dan risiko segala tindak tanduk kita. Benar, kita bekerja kerana mahu mencari rezeki yang halal. Tapi, adakah kita yakin keputusan kita itu adalah yang terbaik untuk dunia dan akhirat kita?

Tepuk dada, tanya selera. Kita lebih tahu jawapan bagi persoalan itu. Kita mengimpikan masa hadapan, agar kita sempat bertaubat. Kita bercita-cita untuk mencapai apa yang kita impikan semasa muda, dan kembali kepada Allah selepas kita tua.

Namun begitu, tidak semua daun yang gugur, telah kering. Tidak siapa tahu apa yang akan berlaku tahun hadapan. Mungkin dunia yang kita cari semakin jauh mendahului kita. Mungkin juga impian kita semakin tinggi, hingga tidak lagi boleh dicapai oleh tangan kasar ini.

Saya faham, tak mudah nak cari pekerjaan di zaman ini. Tapi kita kena ingat, hidup ini rempah ratusnya adalah ujian dan pengorbanan.

Dan pengorbanan yang paling besar, adalah pengorbanan untuk menyukakan Allah. Apabila timbul konflik di antara nafsu dengan perintah Allah, kita menangkan perintah Allah dan gagalkan usaha syaitan memenjarakan kita.

Semakin besar ujian kita, semakin besar jugalah ganjaran Allah. Semakin dalam jugalah cinta dan kekaguman Allah kepada kita.

Percayakan Allah dengan sepenuh hati kita. Semoga Allah tunjukkan jalan yang terbaik buat kita semua.

Percayalah, saya tidak judge sesiapapun. Hidup kita tak sama. Semua orang ada struggle masing-masing. Kan?

2 thoughts on “Teguran suci dan murni kepada semua pramugari

Add yours

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: