Wahabis dan popularis

Dahulu, istilah wahabi ini sangat jarang dijaja orang. Hanya segelintir orang yang tahu apakah itu wahabi. Itupun kalau dia mengaji agama.

Hari ini, mungkin tak semua orang faham maksud wahabi, tetapi saya yakin semua orang pasti pernah mendengar istilah ini. Nampaknya kepantasan internet telah menyebabkan mulut kita juga pantas dalam memberi makna bagi jenama wahabi itu.

Di Malaysia pun, ramai figur seperti ustaz, mufti, pegawai agama, dan ahli akademik yang digelar wahabi. Bukan setakat itu, personaliti TV dan artis pun ada juga yang digelar wahabi sekalipun mereka tidak alim.

Wahabi di Malaysia lebih dikenali dengan sifat-sifat mereka yang ‘ganas dan keras’, berbanding akidah salaf mereka. Ternyata, ‘tidak membaca basmallah secara jahar pada permulaan al-Fatihah’, adalah masalah yang lebih besar berbanding ‘penafian terhadap pengajian akidah sifat 20’. Padanlah mereka ini digelar sebagai pseudo-salafi.

Hari ini, populariti tokoh-tokoh yang digelar wahabi atau pseudo-salafi ini semakin meningkat, menjadikan ustaz-ustaz yang kononnya ahli sunnah sejati, makin tenggelam, malap dan sepi.

Di twitter, instagram dan Facebook, tokoh-tokoh inilah yang anak-anak muda kita dakap, peluk, dan sanjung. Kata-kata nasihat mereka lebih diikuti dan disenangi, walaupun pada mata ustaz yang mengaku ahlus sunnah, nasihat itu tidak betul.

Pendapat-pendapat baharu itu dijaja, hinggakan anak-anak muda yang baru setahun jagung ini memandang bodoh dan jijik kepada nenek moyang mereka sendiri. Akhirnya, semua yang orang melayu buat tak betul. Ustaz-ustaz aliran pondok ini pun semuanya salah belaka.

Kemanisan ukhuwwah bertukar hampedu, menjadikan pergaduhan itu lebih digemari dan menyelerakan. Toleransi dan berlapang dada cuma wujud di atas kertas dan tidak pernah menjadi pakaian masyarakat.

Secara personal, saya lebih yakin dan percaya dengan kekayaan akhlak kaum tua, berbanding ‘kebijaksanaan’ kaum muda. Sebagaimana saya lebih meyakini Imam Syafie berbanding akal fikiran saya sendiri.

Tun Mahathir di dalam chedet.cc ada menuliskan, manusia diberikan akal untuk berfikir dan perintah berfikir itu berkali-kali diulang oleh Allah di dalam al-Quran.

Benar. Memang kita perlu memanfaatkan anugerah akal, tetapi kita juga perlu tahu limit keupayaan akal kita.

Al-Quran seumpama ‘jendela’ kepada sebuah dunia yang besar. Sejuta orang pun boleh berdiri memandang ke luar, tetapi adakah semua orang memandang kepada benda yang sama?

Begitu juga apabila al-Quran dibaca. Penafsiran ayat-ayat al-Quran tidak boleh dilakukan semudah terjemahan bahasa arab kepada melayu.

Peralatan utama iaitu ilmu literature arab bagi memahaminya pun kita sudah tidak ada, lalu bagaimana kita boleh berkata, kita mampu untuk membina kefahaman sendiri terhadap ayat-ayat al-Quran yang kita baca?

Hari ini, pandangan-pandangan ganjil dan baru inilah yang lebih popular dan digemari oleh golongan pemuda. Seperti pandangan tak perlu samak/sertu apabila terkena najis mughalazah. Sudah tentu majoriti orang gembira dengan hukum ini, kerana buat apa nak menyusahkan diri membasuh berulang kali dan menggunakan air tanah , jika basuhan menggunakan air paip sudah memadai?

Begitu juga dengan hukum mewarnakan rambut. Sudah tentu pemuda-pemudi suka apabila ada ustaz yang memberitahu mereka yang mewarnakan rambut itu dibenarkan sekalipun tanpa alasan yang kukuh.

Dari satu sudut, nampak Islam itu mudah. Tetapi jika diamati betul-betul, Islam telah dimudah-mudah!

Semudah sentuhan kulit suami-isteri yang terus dibawa menuju solat. Bayangkan jika si suami tadi adalah imam rawatib yang dilantik di sebuah masjid. Mungkin selepas dia bermanja dengan isterinya di tempat parking kereta, dia terus masuk dan mengimamkan solat. Bayanhkan sekiranya ada beberapa jemaah yang terlihat adengan romantik mereka sebelumnya, tidakkah akan mengundang kontroversi dan salah faham yang akhirnya mengeruhkan keadaan?

Adakah salah dan berdosa besar jika kita menghormati uruf, adat dan budaya setempat, berbanding kita rebel, mendabik dengan ilmu kita yang ‘paling benar’.

Sayang sekali, agamawan yang ‘mudah’ beginilah yang paling popular, didekati, dan dikagumi orang. Hinggakan bukan setakat anak dara yang menggigit kuku teringin disunting ‘manusia luar biasa’ ini, tetapi si ibu juga tak henti-henti berdoa mahu bermenantukannya.

Yang saya tak faham, mengapa ustaz-ustaz pondok, yang belajar jauh-jauh, sampai 30 tahun pun ada, tetapi dipandang sepi?

Antaranya puncanya adalah kerana mereka tidak pandai mengambil peluang. Mereka tidak suka perkara sensasi dan ‘spotlight’.

Hinggakan dalam isu politik dan kepimpinan, mereka terlalu jauh ketinggalan di belakang. Mungkin kerana terlalu bencikan dunia, hingga tidak tahu apa itu GST, apa itu SST. Apa projek kerajaan terbaharu, dan baik-buruknya kepada rakyat.

Ustaz non-wahabi juga kalah teruk dalam isu alam sekitar, perhutanan, dan kadangkala, isu kemanusiaan. Seharusnya, merekalah juara dalam memperjuangkan hak sesama insan dan mereka jugalah yang membarisi saf hadapan, menggempur para penzalim. Tidak layak bagi orang seperti Siti Kassim menjadi pelindung kepada bangsa-bangsa yang tertindas.

Rakyat Malaysia di era DS Najib memerlukan seorang wira supaya mereka berasa lebih selamat. Wira itu tak semestinya seorang yang petah berpidato seperti ahli politik, sebaliknya mereka akan berasa cukup dengan adanya tokoh agama yang mengkritik kezaliman ini seterusnya, memberikan mereka harapan.

Saya kasihan dengan ustaz-ustaz kita yang ada kedudukan di dalam jabatan kerajaan. Tak habis-habis netizen menuduh, “Benda ni sibuk nak keluar hukum. Habis tu kes 1MDB tak nak keluar fatwa? Kronism, rasuah, salah guna harta rakyat, tak ada pula mufti nak tegur”.

Lebih malang lagi apabila mereka ini digelarkan pula sebagai ‘syaitan bisu’, padahal merekalah yang paling konsisten membisikkan nasihat dan bantahan kepada salah laku, sesuai dengan kapasiti masing-masing.

Akhir sekali, saya berpendapat, di saat orang awam berlumba-lumba untuk meninggalkan mazhab Syafie, menuju ‘mazhab sendiri’, kita seharusnya lebih berhikmah dalam menyedarkan masyarakat tentang bahaya mengikut golongan ‘rebel agama’ ini.

Bukan semua yang dituduh sebagai bid’ah, adalah bid’ah. Jika benar pun ia bid’ah, kita sentiasa ada meja muzakarah bukannya sangkar besi, untuk menyelesaikan perbezaan dan kekusutan tadi.

Benar, Imam Syafie pun manusia biasa seperti kita. Tapi siapalah kita untuk mendabik kononnya Islam kita lebih tepat, lebih akademik, dan lebih progresif.

Jangan biarkan kebencian kita kepada sesetengah ahli agama menjadikan kita rebel.

One thought on “Wahabis dan popularis

Add yours

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: