Kisah sebaldi susu yang ikhlas

Saya terfikir, kenapa kalau kita nak buat benda baik, kita perlu ikhlas tetapi kalau buat benda jahat, tak timbul pula isu ikhlas atau tidak? Tak pernah orang tanya, kau ikhlas ke mencuri, atau kau ikhlas ke jadi anak derhaka ni?

Ikhlas itu umpama kicap dan lada hitam bagi amalan soleh kita. Bagi makin sedap, makin berselera untuk kita terus beramal.

Amalan keji tak perlukan ‘kicap’, ‘gula’, dan ‘garam’ dah, kerana kekejian umpama makanan yang hitam dan hangit. Baunya sahaja sudah tegik, apatah lagi rasa. Kerana setiap orang sudah tentu ikhlas melakukan dosa.

Saya merasakan diri saya sangat diuji untuk ikhlas. Setiap kali selesai mengarang post baharu, terdetik dalam hati saya, berapa ramai orang yang akan membaca apa yang saya tulis? Ada tak orang yang akan memberi kredit dan share tulisan saya di akaun media sosial mereka?

Semua ini umpama virus rabbies tetapi bukan anjing gila, sebaliknya ‘manusia gila’. Gila nama, gila pujian, gila habuan dunia. Virus yang berkali ganda lebih merbahaya, hinggakan satu-satunya vaksin yang mampu menghapuskannya cumalah keikhlasan.

Saya sering diperingatkan, bahawa petanda kita ikhlas adalah apabila ‘amalan kita tidak bertambah dengan pujian, dan tidak berkurangan dengan cacian’.

Orang baca, syukur. Orang tak mahu baca pun tak mengapa. Orang yang ikhlas tidak akan ‘lapar’ kepada pujian manusia. Apa sahaja respond orang tidak akan memberi kesan terhadap kualiti keislaman kita.

Ada orang pernah cerita kepada saya, suatu ketika dahulu, ada seorang ulama yang alim mendiami Kota Mekah. Dia ada mengarang sebuah kitab yang tebal. Namun begitu, dia bimbang jika sepanjang dia mengarang, ada riak, sum’ah, atau ujub di dalam hatinya yang dia tidak sedar, lalu kerana mahu berhati-hati, dia beristikharah dan berdoa,

“Ya Allah, jika tulisanku ini ikhlas semata-mata mengharapkan redha-Mu, maka jagalah kitab ini”.

Ulama itu meninggalkan kitab tulisannya di atas kaabah, dibiarkan digigit panas matahari dan dibasahi embun, hujan dan debu. Selepas beberapa bulan, dia kembali untuk memeriksa kitabnya itu lalu dia mendapati keadaan kitabnya serupa seperti hari pertama ia ditinggalkan. Tiada sebarang kerosakan dan cela.

Selepas daripada itulah baru dia yakin dan mula mengajarkan kitabnya kepada masyarakat.

Orang yang ikhlas ialah jaguh yang tak boleh ditewaskan. Dia telah menang melawan tipu daya Iblis dan dia juga menang dalam peperangan melawan hawa nafsu.

Jiwa manusia sentiasa sukakan sanjungan, pujian, dan penghargaan. Sekalipun lidahnya mengatakan ‘saya ikhlas’, tetapi hatinya sering belot.

Menjadi terkenal adalah salah satu bentuk ujian hati yang paling berat. Sudah terlalu ramai peninju yang ditumpaskan oleh pujian. Ada yang terkena pukulan KO hingga tertanggal habis pakaian agamanya.

Ikhlas itu bukannya boleh dilihat dengan mata. Riak dan ujub, juga serupa. Segalanya adalah tali-tali halus yang mengikat manusia . Satu, mengikat kita kepada kebesaran Allah, yang satu lagi menjerut kita kepada keagungan diri sendiri. Menjadikan kita mendabik dada, merasa Tuan.

Contohnya, hari in kita telah diilmukan tentang kewujudan riak moden di media sosial. Lalu, apabila kita melihat seseorang memuat naik gambar dia bercuti atau bergembira dengan sesuatu nikmat, kita cenderung untuk menuduhnya riak.

Padahal kita tak sedar yang ketika itu, kitalah yang riak! Kononnya kita sahajalah yang baik. Orang lain semuanya mahu menunjuk-nunjuk.

Hati manusia selalu berfungsi secara terbalik. Opposite. Kalau kita rasa diri kita lebih baik daripada orang, bermakna kitalah yang lebih buruk daripadanya. Begitu juga jika kita rasa kita ni ikhlas, bermakna ketika itu kita sedang riak.

Saya masih ingat akan nasihat seorang ahli jemaah tabligh kepada saya, suatu ketika dahulu.

“Semak niat kita. Sebelum, semasa, dan setelah selesai berbuat sesuatu”.

Hati manusia berubah-ubah. Niat manusia pun sama. Kalau tujuan kita kerana mahukan redha Allah, maka redha Allah lah yang kita akan dapat. Tetapi amat malang sekali jika niat kita berubah selepas kita selesai melakukan sesuatu. Mungkin tersilau dengan ganjaran dunia hingga kita tak nampak ganjaran akhirat.

Dalam konteks saya sebagai penulis, saya seharusnya malu sekiranya apa yang saya tulis ini boleh memberi manfaat kepada orang lain, tetapi tidak kepada diri saya sendiri. Mungkin kerana saya sendiri tidak beramal, atau mungkin juga kerana timbul kudis-kudis riak dan ujub ini.

Saya tidak akan lupa pada sebuah hadis riwayat Imam Muslim daripada Abu Hurairah R.A tentang tiga orang lelaki yang syurga mereka terlepas daripada tangan mereka, seperti anak kecil yang memegang gelas lalu terlepas. Pecah berderai kacanya, mencium lantai. Seperti itulah impian syurga mereka. Sudah dalam genggaman, tapi tiba-tiba terlepas.

Ada seorang yang alim, disangkanya akan ke syurga tapi didakwa di mahkamah Rabbul Jalil. Dia disoal oleh Allah akan ilmunya, lalu dia menjawab, tentang dakwahnya dan pengorbanannya dalam mendidik orang.

Lantas Allah S.W.T berfirman, “Kamu bohong. Kamu mencari ilmu kerana mahu dipanggil-panggil sebagai orang alim, maka kamu sudah mendapat apa yang kamu mahukan”.

Datang pula sang pahlawan yang tubuhnya penuh parut dan kesan luka kerana jihad. Dia juga ditanya soalan yang hampir serupa.

“Wahai Allah, dahulu aku berjuang dan mati kerana mahu menegakkan agama-Mu!”, jawabnya.

Dibalas oleh Allah, “Tidak. Kamu berdusta. Sebaliknya kamu berjihad kerana mahu orang kagum denganmu dan memanggilmu sebagai seorang pahlawan yang perkasa dan berani. Lalu kamu sudah mendapatkan apa yang kamu mahukannya di dunia dahulu”.

Akhir sekali, datang seorang jutawan yang juga ditanya oleh Allah tentang amalannya.

“Ya Allah, aku telah memberi sedekah, zakat, dan banyak mengeluarkan hartaku demi membantu agamamu”, lalu dijawab oleh Allah, “Kamu dusta. Kamu mahu dirimu dipanggil sebagai dermawan dan dipuji-puji. Maka kamu sudah menerima apa yang kamu mahukan dahulu”.

Di dalam al-Quran, Allah membuat perumpamaan ikhlas itu seperti susu, kerana susu itu suci, bersih dan halal, sedangkan najis dan darah itu haram, sekalipun datang daripada seekor lembu yang sama.

Ikhlas sifatnya ‘tidak terkesan’ dengan perkara lain. Orang lain berpusu-pusu menuju kerosakan, kita tetap dengan matlamat kita. Orang lain sendawa kekenyangan dengan hiburan dan keseronokan, kita bertahan dengan prinsip kita.

Bagi saya pula, saya akan terus menulis. Ada atau tidak orang membaca, itu bukan persoalannya. Sedangkan isteri saya sendiri pun tak baca tulisan suaminya, inikan pula orang lain 😂😂😂

Urus niaga dengan Tuhan, balasannya ‘tidak selayaknya’ diberikan di sini kerana dunia ialah tempat yang bakal punah, yang tidaklah lebih bernilai daripada sekadar sebelah sayap lalat.

One thought on “Kisah sebaldi susu yang ikhlas

Add yours

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: