Poisson d’Avril !!

Dahulu, ada tiga beradik , Jalal Brothers yang pernah menjadi sensasi di YouTube kerana video-video prank mereka kepada orang awam.

Saya ada menonton beberapa video mereka. Langsung tak rasa mahu ketawa atau tersenyum, sebaliknya saya jadi sangat marah apabila melihat lelaki yang berpakaian tradisional arab, berjubah, berjanggut, dan beserban, secara rawak datang kepada orang awam dan membaling sesuatu yang kelihatan seperti bom lalu dia lari. Bahkan ada yang berlakon sebagai suicide bomber. Memakai jaket yang dipenuhi bom dan alatan letupan di sebalik jubah.

Lintang pukang orang berlari seperti tak cukup tanah. Persoalannya, adakah perbuatan prank ini dibolehkan sekalipun atas jenama hiburan?

Di dalam Islam, perbuatan mempermainkan dan memperbodohkan orang lain adalah termasuk dalam perkara yang dilarang.

Rasulullah S.A.W telah pun menunjukkan kepada kita cara yang betul untuk bergurau, iaitu dengan tetap mendakap prinsip kebenaran.

Semua orang tahu cerita ini, perihal seorang wanita tua yang berjumpa Nabi S.A.W, meminta Baginda mendoakan syurga buatnya. Tetapi balasan Nabi S.A.W memeranjatkannya.

“Tak ada orang tua di dalam syurga”,

Wanita tua itu sangka, dia tak layak masuk syurga kerana dia tua!

Cepat-cepat Nabi S.A.W sambung, “…kerana di dalam syurga, semua orang akan jadi muda belia”.

Begitu juga dalam cerita seorang lelaki yang meminta bantuan berupa seekor unta. Nabi S.A.W bergurau mahu memberinya ‘anak unta’ lalu menyebabkan lelaki itu sedih kerana apalah sangat kudrat yang ada pada seekor anak unta. Lalu diberitahu, “Bukankah setiap unta dewasa pernah menjadi anak unta?”

Tersengihlah sahabat itu. Fahamlah dia, Nabi S.A.W mahu bergurau.

Termasuklah juga cerita seorang sahabat badwi yang sedang berniaga di pasar, lalu tiba-tiba badannya dipeluk dari belakang, dan orang yang memeluknya itu berteriak, “Siapa mahu membeli budak ini?”.

Sahabat itu terkejut. Ingatkan siapa tadi. Rupa-rupanya Nabi S.A.W mahu bergurau dengannya. Dia mengeluh, “Siapalah yang mahu membeli aku Ya Rasulullah. Aku ni tidak gagah dan tidak kacak”.

Sabda Nabi S.A.W, “Kau di sisi Allah, bukanlah seorang yang tidak bernilai. Sebaliknya di sisi-Nya, engkau sangat tinggi nilainya”.

Begitu juga dengan kisah semasa baginda makan-makan buah kurma bersama Saidina Ali R.A dan beberapa kisah yang lain.

Dalam ilmu hadis pula, pernah Imam Bukhari bermusafir untuk bertemu dengan seorang lelaki kerana mahu mengambil hadis daripadanya.

Tetapi dia lihat, lelaki yang dia mahu berjumpa itu sedang mempermainkan haiwan ternakannya. Lelaki itu mengacah-acah mahu memberi makanan, tetapi bila lembunya datang, dia menyorokkan makanan tadi hingga ia pun undur, kemudian dia mengacah-acah semula, lalu lembu itu datang, tetapi sekali lagi, dia cepat-cepat menyembunyikan makanan tadi hingga ia kembali berundur.

Terus Imam Bukhari tak jadi nak ambil hadis daripada lelaki itu walhal dia sudah menempuhi perjalanan yang sangat panjang dan memenatkan.

Ahad ini, 1 April 2018. Hari yang dikenang dengan sambutan April Fool.

Sebenarnya, ‘hari memperdaya dan memperbodohkan orang’ telah disambut dalam banyak budaya dan bangsa di seluruh dunia.

Di Perancis, hari ini dikenali dengan poisson d’Avril. Pada hari ini, kanak-kanak menyambutnya dengan mencuba menampal kertas berbentuk ikan atau gambar ikan di belakang orang dewasa. Bila orang itu berpaling, mereka akan menjerit, “Poisson d’Avril!”.

Perayaan ini dipercayai bermula pada tahun 1564, semasa King Charles IX mahu me-standard-kan kalendar. Dahulu, 1 April adalah permulaan tahun baru. Poisson d’Avril disambut ketika itu untuk mentertawakan dan ‘menganjing’ orang ‘bodoh’ kerana masih belum sedar yang tahun baru sudahpun diubah kepada 1 Januari.

Di Scotland, masyarakat di sana menyambut Huntigowk Day dan Taily Day. Antara bentuk prank mereka adalah dengan memperdayakan seseorang untuk menghantarkan surat, mel, atau barang kepada penerima, lalu apabila tiba kepada penerima pertama, dia akan meminta penyampai itu untuk memberikan barang itu kepada penerima kedua, dan berikutnya.

Taily Day disambut pada hari keesokannya. Mereka menyambutnya dengan menampal nota-nota seperti, ‘Sila tendang punggung saya’ pada belakang badan ‘mangsa’.

Di Iran, masyarakat Iran menyambut Sizdah Bedar, pada hari ke-13 dalam bulan Farvadin (iaitu bulan pertama dalam kalendar orang Iran). Hari ini selalunya jatuh di antara 1 atau 2 April.

Pada hari ini, masyarakat Iran akan keluar berkelah bersama keluarga masing-masing. Mereka akan bergurau dan bermain-main di taman. Kemudian, mereka akan pergi ke sungai, lalu mereka akan membuang sabzeh, tumbuhan hijau, kononnya bagi membuang sial.

Di Denmark, selain April Fools, masyarakatnya juga menyambut Maj-kat pada 1 Mei. Namun begitu, tak ramai anak muda di sana yang masih menyambutnya.

Di Sepanyol dan negara-negara Amerika Latin, masyarakat mereka menyambut Holy Innocent’s Day atau disebut juga Childermas. Perayaan tradisonal bagi penganut Krisitian ini disambut pada 28 Disember setiap tahun, di mana kanak-kanak akan membuat tipu helah dan prank kepada orang dewasa.

Perayaan ini diadakan bagi memperingati sejarah berdarah, ketika King Herod menitahkan agar setiap bayi berusia dibawah 2 tahun dibunuh kerana tilikan daripada ‘wise men’ atau pendeta yang kononnya akan lahir bayi yang bakal menggulingkan takhtanya lalu menjadi pemimpin kaum Yahudi, seperti yang direkodkan dalam kitab suci mereka, Gospel of Matthew, bab 2.

Macam kisah Nabi Musa A.S pula kan.

Yang terakhir, Holi Festival yang disambut oleh masyarakat hindu di India dan Nepal. Kebiasaanya, perayaan ini disambut pada lewat bulan march, atau di awal musim bunga. Orang ramai yang hadir akan menari dan menyanyi beramai-ramai. Mereka bergembira dengan membaling beras dan serbuk berwarna-warni, dan akan menyiram air kepada kawan-kawan. Asal usul perayaan ini adalah sebagai memperingati Dewa Krishna.

Pada pendapat saya, hampir seluruh dunia ‘menerima’ budaya prank ini. Negara Jepun yang dianggap bertamadun, moden dan maju itu bahkan yang paling kuat budaya prank mereka.

Namun begitu, sebagai umat Islam, seharusnya kita mengkaji semula hukum asal prank ini. Jika dibuat dengan berhati-hati tanpa memberi mudharat, tak menyusahkan sesiapa, bukan bertujuan mahu meniru perayaan kaum lain, dan sekadar bertujuan untuk mengeratkan silaturahim, maka saya rasa tidak mengapa.

Tapi perlu diingat sungguh-sungguh, Nabi S.A.W pernah bersabda, “…aku menjamin sebuah rumah di tengah syurga bagi orang yang meninggalkan berbohong sekalipun dalam gurauan…” (Hadis riwayat Abu Daud)

Dan juga hadis ini, “Tidak halal bagi sesorang muslim membuatkan takut muslim yang lain”, (Riwayat Abu Daud).

Paling utama, mangsa itu sendiri perlu rasa okey. Kalau mereka marah dan rasa dimalukan, si pelaku wajib meminta maaf dan membayar ganti rugi yang setimpal.

Dalam konteks masyarakat Malaysia yang suka berlebih-lebihan menyambut Hari Lahir, perlu diingatkan bahawa semua perkara perlu dilakukan dalam kadar yang sederhana. Tidak boleh melampau jauh sekali membazir. Ini tidak, habis tepung, telur, serbuk dan rempah ratus, dibazirkan dan mengotorkan tempat tinggal kita.

Sesungguhnya agama Islam itu tidak sama dengan agama lain. Perayaan kita pun takkan sama. Begitu juga dengan cara kita bergembira dan berhibur.

Bukanlah daripada kalangan umat ini, bangsa yang suka mempersendakan orang.

Islam itu datang sebagai sesuatu yang asing. Maka, ia akan kembali juga sebagai sesuatu yang asing.

Asing daripada mainstream.

Nasihat saya, jauhi budaya jahiliyah ini sekalipun pelakunya terlalu moden, sudah 10 kali berulang alik dari Zuhal ke Pluto.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: