Perang melawan bosan

Saya pernah bersembang dengan seorang remaja lepasan SPM beberapa hari lepas. Kebetulan kami sama-sama sedang menunggu bas. Dapatlah saya tahu, yang dia sedang menunggu bas untuk pulang ke kampungnya. Dia datang ke kota kerana mahu menziarahi neneknya yang sudah tua.

Katanya, dia seronok dapat keluar dari kampung walaupun sekejap. Selepas tamat persekolahan, rutinnya sama sahaja setiap hari. Tidur, menonton TV, memasak dan mengemas rumah. Nak melayari Internet pun tak boleh kerana kedudukan rumahnya yang jauh di dalam kampung, tidak mempunyai jaringan jalur lebar yang memuaskan.

Jiwa remaja ini memberontak untuk mencabar dirinya melakukan sesuatu yang lain.

Saya menebak, “Mengapa tidak mahu mencari kerja sementara?”

Jawabnya, rumahnya jauh di dalam kampung. Tiada pengangkutan awam untuk pergi ke bandar.

Saya cuma mampu mengangguk sahaja kerana saya pernah berada di tempatnya, 10 tahun lalu.

Tinggal di kampung, tiada hiburan, sukar mendapat capaian internet, dan siaran TV.

Saya tak tahu apa yang menyelamatkan saya daripada kebosanan tinggal di rumah. Hampir setengah tahun, saya tak berbuat apa. Bukannya tidak pernah terfikir untuk bekerja sementara, atau untuk ke bandar mencari pengalaman. Tetapi semua itu sukar. Lebih-lebih lagi tanpa sokongan kewangan yang kukuh.

Tapi alhamdulillah, saya terselamat tanpa luka dan parut pada hati dan jiwa.

Remaja di zaman ini tidak ‘bernasib baik’ seperti saya.

Hari ini, akses internet terlalu mudah. Jika dahulu, telefon yang paling canggih adalah jenis yang mampu menghantar sekeping gambar berskala kecil melalui perkhidmatan MMS, tetapi hari ini, menghantar video berdurasi 1 jam pun sudah sepantas kilat. Yang tinggal di Utara, boleh menerima apa sahaja yang dihantar dari Selatan. Tiada siapa pun tahu apa kandungannya.

Mungkin kerana faktor bosan dan ‘tidak tahu nak buat apa’ inilah ramai remaja melayu perempuan menjadi ‘mangsa seks’ predator-predator alpha. Mereka diperdaya oleh lelaki bangsat ini untuk menghantar gambar-gambar bogel mereka selepas diperdaya oleh pujukan, rayuan, dan janji manis kaum lelaki ini.

Seperti yang sering saya cakap, keras-keras perempuan ni macam kerak nasi. Hari-hari dirayu, lambat laun pasti akan jatuh ke dalam perangkap juga.

Harta yang perlu dijaga sesungguhnya, mudah-mudah diberikan secara percuma.

Itu halnya remaja perempuan yang sunyi. Remaja lelaki yang sunyi pun apa kurangnya.

Jiwa remaja, jiwa yang besar.

Seorang remaja seperti Muhammad al-Fateh berupaya menawan Kota Konstantinopal bukan kerana fizikalnya gagah, tetapi kerana jiwanya diisi dengan cita-cita ulung. Sejak kecil lagi Ayahandanya sudah menanam ke dalam dirinya matlamat yang jelas; mengislamkan sebuah empayar.

Seharusnya kita sebagai orang dewasa, mengisi jiwa anak remaja kita dengan impian dan bukannya hiburan.

Amat menyedihkan bagi seorang remaja melayu, lahir sebagai Islam, tetapi impian terbesarnya bukanlah untuk membela nasib bangsa dan agama ini, tetapi cita-cita teragungnya adalah untuk menjadi seorang penyanyi dan pelakon, yang terpaksa menghinakan diri, mencipta kontroversi seolah-olah tiada maruah diri kerana mahu mengemis populariti.

Di ketika anak orang lain mahu menguasi ekonomi, kita masih bingung, tidak tahu tempat bermula dan berakhir.

Mungkin nasihat ini agak terlewat buat calon SPM, yang sudahpun menerima keputusan mereka sejak beberapa minggu yang lepas. Namun begitu, saya tetap berkewajipan untuk berpesan supaya kita menanam cita-cita yang tinggi.

Setinggi pesanan Nabi Muhammad S.A.W,

“Sekiranya di tangan kamu ada benih kurma dan kamu tahu bahawa esok akan berlaku kiamat, maka hendaklah kamu menanam dan jangan biarkan hari kiamat berlaku tanpa menanam benih kurma tersebut” (Riwayat Imam Ahmad

Jangan kata kita tak tahu nak buat apa, kerana ada terlalu banyak benda baik yang kita boleh buat.

Sesungguhnya jiwa kita ini besar. Jika jiwa yang besar ini tidak diisi dengan kebaikan, maka ia akan dipenuhi dengan kejahatan, tipu daya, dan angan-angan kosong.

Oleh itu, perangilah kebosananmu dengan mencari kebaikan!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: