Adakah Tun Mahathir terlalu tua untuk menjadi PM?

Politik dan kehidupan, adalah satu tubuh. Semua makhluk di atas bumi ini berpolitik, sekalipun tanpa dia sedar. Manusia berpolitik, binatang pun sama. Bezanya, ketua monyet dipilih melalui kekuatan. Siapa yang menang, kawasan itu miliknya.

Politik ialah salah satu daripada sendi agama, dengan jenama siasah. Ramai para ulama yang telah mengarang dan membahaskan tentang politik Islam. Jadi agak menghairankan jika ada umat Islam yang masih menolak politik dengan alasan agama.

Ketika kewafatan Nabi S.A.W, belum sempat jasad Baginda disemadikan, para sahabat sudah mula berbincang sesama mereka, siapakah yang layak menjadi ketua mereka bagi menggantikan Baginda.

Bertempat di saqifah Bani Saadah, para sahabat daripada kaum Ansar mencalonkan Saad bin Ubadah R.A sebagai khalifah, manakala Saidina Abu Bakar R.A pula mencadangkan Saidina Umar al-Khattab R.A sebagai khalifah. Namun begitu, Saidina Umar R.A dengan rendah diri mencalonkan Abu Bakar R.A sebagai khalifah pertama, yang kemudiannya disepakati dan dibai’ah oleh kaum muslimin.

Jika dalam dunia melayu, kita selalu bergurau, “Tanah kubur masih basah”, tetapi dalam sirah, belum sempat jasad Baginda menyentuh tanah, kaum Muslimin telah selamat memilih ketua baharu.

Antara hikmahnya adalah supaya ruang-ruang untuk tercetusnya perpecahan telah ditutup rapat, sejak awal-awal lagi.

Dalam dunia politik Malaysia, kita boleh melihat roller coaster, turun naiknya figur-figur yang menjadi ‘berhala’ masyarakat.

Sebagaimana Karl Marx (1818-1883) pernah berkata, “Agama adalah candu masyarakat”, maka situasi yang serupa juga berlaku dalam politik.

Hari ini, politik bukan lagi setakat keluar mengundi, siapa jadi perdana menteri, siapa jadi timbalannya, tetapi politik telah mengambil tempat agama sebagai kiblat kehidupan.

Politik di tanah air kita telah melahirkan ramai pentaksub, yang mempertahankan kesalahan dan menolak kebenaran, kerana kebenaran itu keluar daripada musuh, manakala kesalahan itu terbit daripada orang yang sealiran dengannya.

Beberapa hari ini, penuh di timeline Facebook saya, orang bercakap tentang forum anjuran Sinar Harian yang bertajuk, ‘Adakah Tun M terlalu tua untuk menjadi PM’.

Segala perhatian diberikan kepada seorang ahli panel yang telah ‘mati’ berkali-kali kerana dibunuh maruahnya, diludah dengan kata-kata nista dan makian, dan diremehkan seperti anak kecil yang hanya tahu A sampai C.

Silapnya mungkin kerana dia mendatangkan hujah-hujah yang mempersoalkan kemampuan Tun M mengemudi Malaysia buat kali kedua.

Dan lebih malang, orang yang dia persoalkan itu hadir dan duduk betul-betul dihadapannya!

Say it to my face!

Saya kenal ramai orang yang bersikap non-partisan. Tidak mahu melibatkan diri dalam politik. Bahkan ada yang lebih keras, mereka menolak demokrasi. Kata mereka, ahli politik ini semuanya pembohong, gila kuasa!

Bila tiada jawatan, mengemis merayu. Bila sudah bergelar Yang Berhormat, sentiasa minta dihormati tetapi tidak mahu menghormati.

Saya meramalkan, pilihanraya akan datang bakal menjadi suatu medan pertarungan yang getir.

Blok kerajaan sudah pasti mahu mengekalkan DS Najib sebagai kapten, tetapi blok pembangkang atau Pakatan Harapan, meletakkan ‘mentor’ beliau sebagai calon PM.

Manakala satu lagi pencabar utama mereka, PAS, dilihat memiliki perancangan dan helah mereka yang tersendiri.

Malang sekali, semua pihak ada ‘sisi jahat’ mereka. Kontroversi yang timbul tenggelam, tidak boleh dipandang dengan sebelah mata.

Saya merasakan, pilihan yang dihidangkan kepada kita bukanlah dalam bentuk, ‘siapa lebih baik’, tetapi ‘siapa yang paling sedikit jahatnya’.

Jawatan bukan untuk direbut-rebut. Abu Dzar al-Ghifari R.A pun pernah ditolak permintaannya untuk diberikan jawatan oleh Nabi, kerana beliau tidak mampu.

Sebagaimana kualiti ‘qowiy’ dan ‘amin’ yang samar-samar ada pada semua ahli politik kita.

Politik telah menyebabkan manusia makin lupa siapa saudaranya, dan siapa musuh sebenarnya. Bukan sedikit harta yang musnah. Bukan sedikit air mata yang tumpah. Tapi tetap manusia melihat ‘perjuangan’ mereka ini mulia dan tidak sia-sia.

Macai! Dedak!

Katalah apa sahaja.

Utopia ini bukanlah untuk orang yang terpenjara pemikirannya dan dirantai telunjuknya.

Mungkin sudah tiba masanya kita memilih calon yang berwibawa, bukan hanya parti yang diwakilinya.

Sudah tentu kita tak mahu orang yang tidak bermoral menjadi kapten kita, selicik penipuannya dalam skandal 1MDB, begitu jugalah kita tidak mahu orang yang liberal menjadi ketua kita, secelupar ungkapannya, “Hudud ini ciptaan ahli fikah”.

Pilihlah dengan hati. Bukannya emosi.

Kita bermati-matian mempertahankan ahli politik yang kita idolakan, tetapi nanti, bila kita mati, adakah dia akan mensyafa’atkan kita?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: