Salahkah saya suka menulis?

Saya teringat kata-kata seorang abang ni,

“Dakwah ni perlu dibuat mengikut cara Nabi S.A.W sahaja. Kita kena keluar jumpa orang, dakwah dari rumah ke rumah”.

Dia seorang yang sangat aktif dalam jemaah Tabligh. Tambahnya lagi,

“Selain daripada itu, tidak mengikut sunnah Nabi”.

Peristiwa ni dah lama. Waktu tu Facebook baru sahaja dilancarkan manakala aktiviti blogging masih lagi sangat popular.

Pada pendapat saya, apa yang abang ni kata ada benarnya juga. Zaman Nabi S.A.W mula berdakwah dahulu, mana ada internet. Teknologi di zaman itu juga sangat terhad.

Namun begitu, dakwah secara tulisan sudahpun wujud. Antaranya adalah melalui perutusan surat daripada Nabi Muhammad S.A.W kepada raja-raja dan pemerintah-pemerintah kerajaan di sekitar negara Islam Madinah.

Baginda menyeru para pemerintah kerajaan untuk masuk ke dalam agama Islam. Tinggalkan agama lama mereka dan hanya menyembah Allah.

Sudah tentulah berdakwah dalam bentuk tulisan adalah dibenarkan, dan berpahala.

Namun begitu, kita wajib berhati-hati. Dahulu saya pernah menyebutkan yang kita perlu berwaspada dalam memberikan nasihat, kerana jika tidak selari dengan adab-adabnya, orang yang memberi nasihat boleh menjadi lebih angkuh.

Begitulah juga dengan berdakwah dalam tulisan, lakonan, dan juga musik. Lebih-lebih lagi apabila kita berfikir untuk menjadi popular kerana mahu berdakwah.

Antaranya adalah dengan menjadi penulis, penasyid, selebriti dakwah, atau juga ustaz-ustaz di televisyen, dan juga di media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram.

Lambakan program realiti agama juga menjadi penyumbang kepada pertambahan bilangan pendakwah popular.

Sebagai contoh, ada sebuah kumpulan nasyid yang diawal penubuhannya, seringkali membawa lagu-lagu ketuhanan dan mesej-mesej positif. Namun begitu, sejak akhir-akhir ini, mereka mula berjingkit-jingkit masuk ke dalam muzik arus perdana (mainstream). Mungkin matlamat mereka adalah untuk ‘mengislah’ industri hiburan kita, tetapi yang terjadi adalah sebaliknya.

Terlalu banyak kontroversi terpalit hingga menjatuhkan nilai mereka. Seharusnya, mereka kekal dalam kelas mereka sendiri. Mungkin tidak sepopular kumpulan muzik lain yang berpeluang menjuarai AJL dan menjadi muka hadapan majalah hiburan dan keratan akhbar, tetapi adakah perlu kita menghina diri, mengetuk pintu populariti dan merayu-rayu supaya orang sanjung?

Menjadi popular untuk berdakwah ialah satu perangkap syaitan. Syaitan akan masuk ke dalam hati kita, hingga setiap nasihat yang kita lontarkan, akan menjadi punca kemurkaan Allah kepada kita.

Kita terpinga-pinga, menyangka ini semua adalah amal soleh. Tapi ternyata, riak dan takabbur telah awal-awal lagi menjadi anai-anai yang merosakkan amal soleh kita dari dalam.

Namun begitu, saya tidak menghalang jika kita mahu popular. Siapalah saya untuk judge.

Tapi saya risau hati kita belum cukup besar untuk ikhlas.

Biar makhluk bumi tak kenal siapa kita. Yang penting, makhluk langit memuji-muji dan kagum dengan ‘kerja’ kita di bumi ini.

Berdakwahlah. Mudah-mudahan, kita lebih dekat dengan agama-Nya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: