Pornografi dan lelaki heterosexual.

Saya selalu dengar orang kata yang lelaki ada 9 akal, 1 nafsu tapi perempuan pula ada 9 nafsu dan 1 akal. Puas saya cari sumbernya tapi setakat hari ini belum berjumpa.

Mengaitkan banyaknya nafsu dan kurangnya akal kepada seseorang, adalah penghinaan buatnya. Tiada manusia yang suka dicop sebagai hamba nafsu.

Tetapi malangnya, ramai dalam kalangan manusia yang dikawal oleh nafsunya. Malu dan segan bukan lagi sebuah perhiasan peribadi dan tidak lagi menjadi pelindung diri.

Salah satu bentuk perbuatan mengikut hawa nafsu adalah suka memandang kepada aurat dan perkara yang menaikkan berahi atau syahwat.

Sejujurnya, ujian terbesar buat kaum lelaki adalah pada keinginannya terhadap wanita. Tiada lelaki normal yang tidak bernafsu dengan wanita sekalipun wanita itu tidak cantik. Alim, warak, dan baik manapun lelaki itu, pasti dalam hatinya ada berahi.

Bezanya cuma terletak kepada sejauh mana dia takut kepada Allah.

Di dalam Surah Yusuf dinukilkan gejolak perasaan Nabi Yusuf A.S saat digoda oleh isteri pemerintah (Zulaikha), seawal ayat ke 12 lagi.

Benarlah, yang mampu menyelamatkan lelaki daripada pornografi cuma ketakutannya kepada Allah.

Hari ini, akses kepada pornografi terbuka seluas-luasnya. Buka sahaja pintu rumah, sudah ternampak wanita yang berpakaian tidak sopan. Kalau bertudung dan berbaju kurung pun, lenggok dan gayanya pula yang berlebih-lebihan. Itu yang diluar.

Yang di dalam rumah, dalam bilik tidur, di depan skrin, lebih dahsyat. Tersorok daripada manusia. Tiada siapa tahu, tiada siapa nampak.

Kecuali Allah.

Jika memandang aurat wanita akan menggelapkan hati, lalu bagaimana pula dengan memandang wanita tanpa seurat benang?

Teringat saya kepada kisah seorang lelaki soleh bernama Abu Bakar al-Misk. Dia pernah diperdaya oleh seorang perempuan yang cantik untuk ke rumahnya.

Setibanya dia di rumah wanita itu, wanita itu terus mengunci pintu serapat-rapatnya. Wanita cantik itu menggodanya dan mengajaknya untuk melakukan penzinaan.

Lelaki soleh ini enggan. Hatinya gementar dan takut dengan ancaman Allah. Dia cuba menolak ajakan zina itu, tapi wanita cantik itu berdegil dan terus menggodanya. Lalu timbul satu idea.

Dia berlari ke tandas, lalu dia melumurkan badan dan pakaiannya dengan najis yang kotor dan busuk. Hinggakan wanita itu berasa geli dan jijik kepadanya dan melepaskannya pergi.

Kerana perbuatannya yang memilih najis berbanding wanita cantik yang menyerah diri, Allah S.W.T memberinya karamah (kemuliaan) iaitu badannya sentiasa berbau wangi hinggakan saat dia meninggal dunia pun kuburnya masih berbau wangi.

Salah satu daripada tipudaya syaitan, adalah apabila dia berbisik,

“Alah, tengok saja. Bukannya kau nak buat pun”.

Hinggakan kita angguk membenarkannya. Ya, aku tengok saja, bukannya berzina pun.

Lalu tangan menjulur ke dalam seluar. Dosa yang hitam, makin pekat. Hati yang sudah gelap, makin berkarat.

Sudahlah cahaya iman makin malap, tubuh badan pula dirosakkan dengan perbuatan onani yang jijik, hina, dan dilaknat.

Pernah suatu hari, Rasulullah S.A.W bersama-sama dengan Fadhl Bin Abbas R.A menunggang kuda lalu mereka terserempak dengan sekumpulan jemaah haji wanita.

Sepupu Nabi S.A.W itu memandang kepada salah seorang wanita di dalam kumpulan itu, hinggakan Nabi S.A.W menolak pipinya agar dia memalingkan wajah ke tempat lain.

Baginda menegurnya supaya menjaga pandangan, walhal jemaah haji perempuan itu sudah pasti telah menutup aurat dengan sempurna.

Ada sebuah statistik yang dibuat tentang rakyat negara manakah yang paling banyak melayari laman web pornografi. Saya tidak terkejut jika banyak negara umat Islam berada dalam senarai 10 teratas. Negara di mana khidmat seks itu sukar, maka penduduknya memilih alternatifnya iaitu pornografi.

Menariknya, negara kita juga termasuk dalam kalangan pengguna internet yang paling lama melayari sesebuah laman web porno dalam satu sesi. Negara yang melahirkan paling ramai ‘keyboard worrior’, rupa-rupanya yang paling lama jugalah hanyut dalam fantasi seksual.

Keinginan kita untuk memenuhi gelora nafsu menyebabkan kita lupa satu perkara, iaitu Iblis dan Syaitan tidak bodoh, dan mereka lebih licik dan bijak daripada kita.

Terlalu banyak perzinaan yang bermula kerana ‘cubacuba’. Mahu membuktikan teori kepada praktikal, hingga berderet anak yang terbuang, berjuang untuk hidup dalam timbunan sampah-sarap.

Zina kini amat berleluasa hinggakan ada yang terfikir solusinya hanyalah dengan sekotak kondom.

Katanya, anak muda kita perlu diajar cara berzina dengan selamat!

Wallahi. Kamu mahu selamat daripada siapa sebenarnya?

Menjaga mata bukanlah suatu yang mudah. Orang boleh nasihatkan kita macam-macam, tetapi bila kita sendirian bertemankan hanya iman yang nipis, saat itu kita tahu betapa rendahnya harga diri kita.

Orang beriman perlu menjadi tuan kepada malu dan kemaluannya.

Sesungguhnya mata ini akan memandang wajah Allah di dalam syurga nanti.

Peliharalah kesuciannya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: