The flying chair

Hampir 2 bulan lepas, kita dikejutkan dengan berita kematian seorang remaja akibat dibaling dengan kerusi pejabat dari tingkat atas PPR Seri Pantai, Pantai Dalam.

Desas-desus mengatakan yang setiap PPR akan dipasangkan dengan jaring keselamatan sekiranya ada orang yang membuang barang-barang dari tingkat atas.

Sebenarnya, kita baling apa-apa pun tetap bahaya. Sekecil duit syiling 10 sen itu pun adalah ancaman kerana momentumnya daripada tempat tinggi. Kalau tidak luka pun, sakit itu dah pasti.

Ramai yang mengutuk tindakan tidak bertanggungjawab ini. Kelakuannya mirip dengan seekor monyet yang tidak boleh berfikir.

Dia ingat, kalau kena orang pun bukannya dia tertangkap. Macam mana dia nak dicari, kan ada beratus buah rumah di bangunan ini.

Jika pun ada keadilan, tapi keadaannya sudah berubah. Pesalah boleh dihukum. Tapi nyawa yang sudah melayang, tidak mungkin boleh diganti sekalipun dibalas dengan nyawa.

Misteri sungguh kematian. Ibarat sebuah kebetulan yang dirancang. Tidak akan terlepas walaupun cuma satu mikro saat.

Bayangkan kalau budak lelaki tu berjalan lewat 5 mikro-saat. Kerusi itu mungkin tetap akan jatuh menimpanya, tapi mungkin pada badan, tidak kepala.

Ada peluang untuk dia hidup sekalipun bahunya retak, rusuknya patah, atau cederanya parah.

Setiap kes kemalangan di jalan raya pun serupa. Kadangakala perkara berlaku dalam sekelip mata sahaja. Hanya berbeza satu saat, kenderaan di hadapan kita selamat tetapi kita yang lewat sesaat, tidak selamat.

Saya pernah menonton sebuah video kemalangan akibat tayar lori yang pecah di tengah-tengah jalanraya. Tayar itu bergolek punyalah jauh tanpa apa-apa halangan tetapi bila seorang penunggang motosikal mahu mengelaknya, tayar itu berpusing betul-betul ke arah yang penunggang motosikal cuba elak tadi.

Kalau dia tidak cuba mengelak, tentu dia sudah selamat.

Ini mengingatkan saya kepada sebuah kisah di zaman Nabi Sulaiman A.S.

Semua orang tahu Nabi Sulaiman sangat berkuasa. Baginda bukan sahaja memiliki singgahsana yang hebat, tetapi baginda menguasai seluruh makhluk di bumi termasuklah angin, malaikat, dan juga jin.

Suatu hari, Baginda buat sebuah majlis di istana. Semua orang dijemput. Di dalam majlis itu, ada seorang menterinya.

Menteri itu perasan, sejak daripada majlis itu bermula, ada seorang lelaki menjelingnya. Lelaki itu berwajah bengis. Tiada seulas senyuman pun terukir di wajahnya.

Menteri tadi berasa tidak selesa. Dia mengadu kepada Nabi Sulaiman A.S akan hal itu. Lalu diberitahu oleh Nabi Sulaiman A.S, lelaki yang bermuka serius itu ialah malaikat maut. Dia datang untuk mencabut nyawa menteri itu.

Lalu cemas dan takutlah menteri tadi. Lantas dia meminta supaya Nabi Sulaiman A.S memerintah angin supaya membawanya ke sebuah pulau yang sunyi dan jauh, agar tidak dapat ditemui oleh malaikat maut tadi.

Nabi Sulaiman A.S pun menunaikan permintaan menterinya itu. Bila menterinya sampai ke pulau yang dimaksudkan, terkejutlah dia kerana dia dapati malaikat maut yang ditemuinya dalam bentuk lelaki bengis tadi sudahpun menunggunya di atas pulau itu.

Kata malaikat itu, “Maha suci Allah. Aku sebenarnya berasa hairan kerana diminta oleh Allah supaya mencabut nyawa kamu di sini, padahal kamu berada di dalam majlis Nabi Sulaiman. Jadi aku pergi ke sana sekadar untuk memastikannya. Tapi ternyata kamu sendirilah yang datang ke sini”.

Lalu menteri itu meninggal di pulau itu, seribu batu jauhnya dari majlis Nabi Sulaiman.

Seakan-akan sebuah kematian yang dicari.

Wallahua’lam. Cerita ini ialah cerita israilliyat. Kita tidak disuruh percaya dan kita juga tidak boleh menidakkan. Sebaiknya kita ambil ikhtibar.

Sesungguhnya kematian itu sentiasa datang dengan tiba-tiba.

Kalau kita tahu bila dan dimana kita mati, mustahil ada yang mati di jalan raya, di tempat kerja, apatah lagi di tempat-tempat maksiat?

Sudah tentu semua orang mahu mati di dalam sujud, di dalam zikir, dan di dalam taubat.

38 tahun berdosa, satu jam sebelum meninggal, baru tangan nak mencapai biji tasbih, nak belajar melafaz istighfar.

Tapi hidup ini bukan macam tu.

Mati tu misteri. Sebagaimana hidup juga misteri. Buatlah persiapan. Sekurang-kurangnya, lakukanlah sesuatu yang tidak menyebabkan roh kita tersangkut di langit dunia, atau dosa-dosa yang akan masih ditulis di dalam register dosa kita walaupun kita sudah tiada lagi di dunia ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: